Mi segera Sup Pedas Korea dan Ayam Pedas Korea jenama Mie Sedaap yang dilaporkan mengandungi etilena oksida iaitu racun perosak, tiada dijual di negara ini.
Perkara berkenaan disahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dapatan melalui semakan ke atas data Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM) mendapati, mi segera itu ada dijual di negara ini, namun tidak membabitkan tarikh luput yang ditarik balik Agensi Makanan Singapura (SFA).
“KKM mengambil maklum laporan media mengenai kehadiran etilena oksida yang dikesan dalam beberapa perisa produk Mie Sedaap keluaran Indonesia.
“Produk berkenaan adalah mi segera Ayam Pedas Mie Sedaap Korea dengan tarikh luput 21 Mei 2023 dan Mie Sedaap Sup Pedas Korea dengan tarikh luput 17 Mac 2023.
“FoSIM mengesahkan produk berkenaan ada diimport ke negara ini. Bagaimanapun tiada kemasukan produk terbabit dengan dengan tarikh luput dinyatakan,” maklum Dr Noor Hisham.
Beliau berkata, KKM akan terus membuat pemantauan di pasaran dan mengenakan tindakan Tahan, Uji dan Lepas (TUL) di semua pintu masuk negara serta sentiasa peka danprihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.
Katanya, etilena oksida adalah racun perosak yang tidak dibenarkan penggunaannya dalam makanan berdasarkan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Semalam, Agensi Makanan Singapura (SFA) mengarahkan dua produk Mie Sedaap ditarik balik kerana kehadiran etilena oksida iaitu sejenis racun perosak.
Baca Juga: JKM mohon bantuan kesan ibu bapa Ayyash
Baca Juga: 4 ubat batuk, selsema Maiden Pharmaceutical tidak berdaftar di negara ini