Pemakaian pelitup muka di dalam masjid dan surau seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan tidak lagi diwajibkan.
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, ketetapan itu berkuat kuasa mulai esok.
Beliau berkata, ketetapan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan selari dengan ketetapan terkini kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan Covid-19.
“Bagaimanapun, pemakaian pelitup muka di dalam masjid dan surau masih digalakkan.
“Individu bergejala seperti demam, batuk dan selesema serta mereka yang berisiko tinggi seperti warga tua serta kanak-kanak amat digalakkan untuk memakai pelitup muka,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan dikeluarkan hari ini.
Pada 7 September lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan pemakaian pelitup muka di tempat tertutup tidak lagi diwajibkan berkuat kuasa serta-merta.
Khairy berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian semasa Kementerian Kesihatan (KKM).
Baca Juga: Tinggal sehelai sepinggang, rumah dan kereta mewah hangus dijilat api
Baca Juga: Naik Ojol setiap Selasa, inisiatif kurangkan masalah parkir