Seorang lelaki warga Myanmar sanggup menikam teman wanita sehingga maut sebelum terjun dari tingkat lapan apartmen di Taman Kilangin, Jalan Sungai, Pulau Pinang, Rabu lalu.
Kejadian yang dikatakan berlaku pada pukul 7 malam bermula apabila Khin Nyein, 30, ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di balkoni tingkat lapan apartmen itu manakala mayat teman lelakinya berusia 30-an di parkir tingkat bawah perumahan itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V Saravanan, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 8 malam, terus ke lokasi kejadian dan menemukan dua mayat warga asing tersebut.
Tekup mulut sebelum tikam
Menurut rakan sekerja mangsa wanita itu, beliau berkata, mereka berdua baru pulang dari tempat kerja di sebuah kilang di sini dan semasa sampai di tingkat lapan rumah mereka, tiba-tiba teman lelaki mangsa datang dan terus memeluk kekasihnya.
“Lelaki itu kemudiannya menutup mulut teman wanitanya dan terus menikam mangsa di bahagian perut beberapa kali dengan pisau…saksi cuba menyelamatkan mangsa namun ditolak oleh suspek,” katanya ketika dihubungi, di sini.
Mengulas lanjut Saravanan berkata, saksi cuba menyelamatkan mangsa namun turut ditolak suspek. Selepas itu, suspek kemudian bertindak terjun dari tingkat lapan berkenaan sebelum ditemui mati.
Sementara itu, jiran mangsa mendakwa, dia yang berada di dapur terdengar kedua-duanya bertengkar. Kebimbangan menjadi nyata apabila jirannya yang juga mangsa ditemui maut.
“Ketika itu saya baru pulang dari kerja kira-kira jam 6 petang, saya fikir mereka hanya bertengkar sebelum diberitahu tetangga lain bahawa mangsa ditemukan terbaring tidak sedarkan diri di hadapan rumahnya,” katanya ketika ditemui Berita Harian.
Seorang penduduk yang enggan dikenali mendakwa, terdapat ramai warga asing di perumahan itu dan kerap berlaku pergaduhan dalam kalangan mereka.
“Kami akui memang tidak selesa dengan keadaan itu. Kini perkara yang kami takuti sudah berlaku dan diharap kejadian ini tidak akan berulang,” katanya.
Baca Juga: APMM gagalkan penyeludupan rokok membabitkan bot kuasa tinggi
Baca Juga: Isu tak cukup baki 5 sen – Bekas juruwang ini ‘ajar’ cashier berani melawan, jangan bebankan pembeli