Usaha murni sepasang suami isteri dari Jawa Timur Indonesia yang menjadikan kediaman mereka sebagai lokasi menjaga pesakit mental, wajar dipuji.
Dikenali sebagai Heru Setyawan dan Lamini, pasangan ini sememangnya mempunyai sifat kemanusiaan luar biasa apabila sanggup menjaga pesakit mental secara percuma.
Memetik laporan CNA, sebagai penjaga individu yang menghadapi masalah kesihatan mental, Lamini mengakui tidak berdepan masalah besar dalam melaksanakan tugas ini sejak 15 tahun lepas.
“Saya sudah biasa dan tidak rasa jijik lakukan kerja ini,” kata wanita itu.
Lamini yang berusia 44 tahun menambah, kediaman mereka yang terletak di Kampung Paringan itu dijadikan sebagai pusat penempatan bagi golongan istimewa.
Turut mendapat gelaran ‘Kampung Gila’ di daerah Ponorogo, Jawa Timur, pintu rumah pasangan ini sentiasa terbuka untuk menerima pesakit mental tinggal bersama mereka.
“Kami menamakan tempat ini sebagai Margo Widodo yang bermaksud jalan ke arah kebaikan dalam bahasa Jawa.
“Segalanya bermula ketika abang kepada suami saya alami kemurungan dan halusinasi. Sebagai anak ketujuh daripada lapan beradik, Setyawan ditugaskan menjaga abangnya kerana adik-beradiknya yang lain mempunyai tanggungjawab lain.
“Memandangkan tiada hospital psikiatri di Ponorogo, Setyawan terpaksa membawa abangnya untuk mendapatkan rawatan di daerah Malang dan Solo di Jawa Tengah. Selama bertahun-tahun, Setyawan memandu selama lima jam dari Solo dan Malang untuk untuk proses rawatan.
“Penduduk di Ponorogo mula meminta bantuan Setyawan untuk menjaga ahli keluarga mereka yang berdepan dengan masalah sama. Ketika itu Setyawan berkhidmat sebagai setiausaha di Kampung Paringan,” katanya lagi.
Baca Juga: 3 individu pengsan akibat terhidu gas bocor
Baca Juga: Fuh! Abang Bomba ni kupas kelapa pakai gigi je!