Sempena pembukaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), tol percuma akan diberikan mulai esok sehingga 30 November ini.
Lebuh raya yang menelan belanja RM4.2 bilion itu, dijangka mampu mengurangkan masa perjalanan dari Puncak Perdana, Shah Alam ke Penchala, Kuala Lumpur daripada 90 minit ke 30 minit.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, projek Lebuh raya DASH adalah satu daripada 53 projek berimpak tinggi dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan, menjana limpahan perniagaan dan merangsang serta menyediakan banyak kegiatan ekonomi yang lebih berdaya maju.
“Menerusi pembinaan DASH, sejumlah 12,000 peluang pekerjaan dicipta membabitkan pengurusan, kejuruteraan, teknikal, pembantu barisan hadapan dan pekerja kontrak.
“Lebuh raya ini yang mula dibina sejak Ogos 2016 dan siap 30 September lalu, mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di beberapa lokasi strategik seperti di sepanjang Persiaran Mokhtar Dahari, Jalan Sungai Buloh dan Persiaran Surian sehingga 40 peratus ketika waktu puncak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Lebuhraya DASH, hari ini.
Ismail Sabri juga berkata, tempoh perjalanan juga dijangka dapat dijimatkan kepada 30 minit pada waktu puncak dari persimpangan Puncak Perdana ke persimpangan Penchala berbanding laluan sedia ada yang mengambil masa sejam 30 minit.
Baca Juga: Thailand lupus ais krim bernilai RM1.4 juta walaupun tiada racun perosak
Baca Juga: Kadar tol AKLEH, GCE, LKSA, Silk turun mulai 20 Oktober