Tragedi Itaewon: Jumlah kematian cecah 154 orang

  • Post author:

Angka kematian akibat kejadian rempuhan ketika sambutan Halloween di Itaewon, Seoul, Sabtu lalu kini meningkat kepada 154 orang termasuk 26 warga asing.

Menurut pegawai di Ibu Pejabat Pencegahan Bencana dan Keselamatan Pusat, angka kematian tersebut dijangka meningkat susulan 33 mangsa mengalami kecederaan serius.

Seramai 116 yang lain mengalami cedera ringan, manakala hampir semua mangsa yang maut telah dikenal pasti.

Warga asing yang terbunuh pula mencecah 26 termasuk lima dari Iran, masing-masing empat dari China dan Rusia, dua dari Amerika Syarikat, dua dari Jepun dan masing-masing seorang dari Perancis, Australia, Norway, Austria, Vietnam, Thailand, Kazakhstan, Uzbekistan dan juga Sri Lanka.

Insiden berkenaan berlaku pada Sabtu malam, apabila sekumpulan besar pengunjung berkumpul sempena pesta Halloween dan memenuhi lorong sempit selebar 3.2 meter di daerah Itaewon, Seoul.

Rempuhan tersebut disifatkan sebagai insiden terburuk di Korea Selatan sejak tragedi feri Sewol karam di perairan pantai selatan pada 2014 yang mengorbankan 304 nyawa, kebanyakannya pelajar sekolah menengah.

Siasatan sedang dijalankan untuk menentukan punca sebenar kejadian itu.

Baca Juga: Bergaya ala orang dewasa, kepintaran adik ini pakai selendang buat netizen kagum dengan kemahiran dimilikinya

Baca Juga: Jiran asyik merungut anak bising waktu tengah malam, bila tunjuk bukti terus terdiam