Tukang gunting rambut terbang ke Qatar, demi tugas memotong rambut pemain bola sepak

  • Post author:

Bertuah! Itu ayat yang sesuai diberikan kepada seorang tukang gunting rambut yang menaiki pesawat ke Qatar untuk memotong rambut bintang-bintang bola sepak England.

Malah, menurut laporan akhbar Daily Star, lelaki tersebut juga telah dihubungi oleh pasukan bola sepak Perancis untuk khidmat memotong rambut pemain.

Ahmed Alsanawi yang memiliki kedai A Star Barbers di Surrey, Britain telah mengembara bersama isteri dan rakan kongsi perniagaannya, Tanya ke lokasi Piala Dunia 2022 untuk menawarkan khidmat kepada beberapa bintang bola sepak.

Alsanawi berkongsi gambarnya memotong rambut beberapa pemain seperti Phil Foden, Marcus Rashford dan Jack Grealish.

Bagaimanapun, Alsanawi turut dijemput melawat kem pasukan kebangsaan Perancis yang dijadualkan menentang pasukan England pada peringkat suku akhir yang sukar awal pagi esok.

“Kami telah memotong rambut pemain seperti Marcus Rashford, Jack Grealish dan Phil Foden selama bertahun-tahun. Saya diterbangkan oleh sesiapa yang memerlukan saya.

“Saya ditempah oleh pasukan England, Perancis dan sesiapa sahaja yang berjaya melepasinya (perlawanan). Saya juga bekerjasama rapat dengan pasukan Belgium,” kata Alsanawi kepada akhbar The Mirror.

Tukang gunting rambut selebriti itu, yang menggunting rambut beberapa pemain Belgium sebelum tersingkir daripada Piala Dunia, turut menawarkan khidmat kepada pasukan Perancis yang menang empat tahun lalu di Russia.

Alsanawi yang menubuhkan syarikatnya pada 2013, sebelum ini berkhidmat sebagai tukang gunting rambut di tempat latihan Chelsea, sebelum kontrak itu berakhir berikutan dakwaan dia menggunakan pemain kelab itu untuk mempromosikan perniagaannya.

Baca Juga: Nak sangat bola mata warna lain sampai sanggup buat tatu, wanita kini alami cacat penglihatan

Baca Juga: Kes tekup kek di muka, hanya ‘content’ semata