Ugut nak sebar video bogel jika tak bayar duit, lelaki usia 23 tahun ditahan

  • Post author:

Penyebaran video lucah semakin kerap berlaku malah benda ini dijadikan satu sumber untuk memeras ugut mangsa yang pada mulanya rela hati berkongsi namun apabila bahan sudah ada pastinya mereka mahukan duit untuk menutup mulut daripada terus menyebar.

Seorang lelaki warga tempatan berusia 23 tahun berasal daripada Kuala Lumpur ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kes memeras ugut seorang lagi lelaki dengan video bogel milik mangsa.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, pada Julai lalu pihak polis menerima laporan daripada lelaki tempatan berusia 26 tahun menyatakan dia menerima panggilan telefon dan diugut oleh seorang lelaki.

“Laporan berkenaan menyatakan mangsa berkenaan diugut oleh seorang lelaki untuk menyebarkan video bogel milik mangsa jika tidak membayar sejumlah wang.

“Mangsa kemudiannya berasa takut dan bertindak memindahkan wang sebanyak RM1,900 ke dalam akaun suspek,” katanya dalam kenyataan.

Ismail berkata, susulan daripada itu, polis mengesan dan menangkap suspek di Jalan Klang Lama hasil bantuan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfield.

“Semalam suspek dibawa ke IPD Batu Pahat untuk siasatan lanjut berkaitan kes berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis kini sedang giat mengesan seorang lagi suspek dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.

“Suspek ditahan reman selama dua hari hingga Khamis ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara boleh sampai sepuluh tahun atau denda ataupun sebat,” katanya.

Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan panggilan video aksi lucah oleh pemanggil yang tidak dikenali.

Diharapkan semua tidak sewenang-wenangnya memberikan video peribadi anda untuk tatapan tidak kiralah teman lelaki yang anda percayai kerana bimbang satu hari nanti video tersebut akan digunakan untuk memeras ugut anda.

Baca Juga: Bapa Adam Mika buat laporan polis, nafi anak buat video tak senonoh

Baca Juga: Kegagalan keadilan: Selepas 70 tahun dihukum mati polis minta maaf, namun keluarga tidak terima