Sepasang seluar jeans Levi’s dari 1880-an yang ditemui di dalam lombong terbiar dilelong pada harga US$87,400 (RM410,000).
Seluar jeans itu dijumpai di sebuah lombong terbiar di barat Amerika oleh ahli arkeologi denim Michael Harris dan dijual di Durango Vintage Festivus iaitu sambutan denim empat hari di pinggir Aztec, lapor United Press International (UPI).
Jeans itu mempunyai butang buckleback dan dibeli oleh Kyle Hautner dan Zip Stevenson.
Hautner membayar 90 peratus daripada harga itu, manakala Stevenson menyumbang baki 10 peratus.
Stevenson yang memiliki dan mengendalikan kedai pembaikan Denim Doctors di Los Angeles berkata, seluar itu adalah penemuan yang jarang berlaku.
“Seluar jeans ini sangat jarang dijumpai terutamanya saiz dan keadaannya masih elok,” UPI memetik katanya kepada CNN.
Seluar jeans itu kini disimpan di dalam peti deposit keselamatan berhampiran Denim Doctors dan boleh dilihat melalui janji temu.
Pemiliknya berharap dapat menjual seluar itu ke muzium untuk paparan umum.
Baca Juga: Bakal buat prekuel Mat Kilau, tapi tiga nama ini tiada dalam senarai