Dalam hidup ini, sebenarnya macam-macam perkara menarik ada di sekeliling manusia, sehingga sampai satu tahap kita boleh menganggap ia juga sesuatu yang unik.
Begitu juga dengan sebuah rumah di Pennsylvania, Amerika Syarikat yang dilihat bukan sekadar ‘rumah’.
Baru-baru ini, pemilik baharu rumah berbentuk kasut itu menawarkan kediamannya untuk disewa sebagai penginapan jangka pendek.
Tempahan penginapan yang kini tersedia sehingga akhir tahun ini bermula pada harga AS$269 (RM1,270) untuk satu malam.
Pemiliknya, Waylon dan Naomi Brown membeli Rumah Kasut Haines di Hellam Township pada Julai lalu.
Dalam hantaran di Facebook, mereka memberitahu bahawa rumah itu kini tersedia untuk sewaan jangka pendek yang boleh ditempah melalui laman Vrbo.
Rumah kasut itu dibina pada 1948 untuk mempromosikan rangkaian kedai kasut Mahlon Haines.
Sejak itu, ia sering bertukar pemilik yang pernah menjadikan hartanah tersebut sebagai suite bulan madu, kedai ais krim dan lokasi tarikan pelancong.
Kini, rumah itu diubah suai oleh pasangan Brown dengan tiga bilik tidurnya dipenuhi koleksi memorabilia kasut diberi nama Shoelace Space, Instep Suite dan Ankle Abode.
“Kami benar-benar cuba mengekalkan beberapa ciri asal seperti tingkap kaca berwarna untuk memastikan ia bertahan selama bertahun-tahun lagi supaya boleh dinikmati oleh orang ramai,” kata Naomi kepada saluran televisyen WGAL-TV.
Baca Juga: Ngeri! Remaja hilang sebelah paru-paru selepas tercampak daripada permainan ‘wave swinger’
Baca Juga: Kereta Ferrari F1 Schumacher dijual pada harga RM69.7 juta