Wah! Senaman ‘buaya merangkak’ jadi trend di China

  • Post author:

Bila sebut sahaja tentang senaman, pelbagai aksi dapat dilihat demi mengekalkan stamina sekali gus memastikan tubuh dalam keadaan sihat.

Namun, baru-baru ini tular rakaman video melibatkan penduduk China melakukan kelas senaman ‘buaya merangkak’ yang dipercayai mampu melegakan sakit belakang.

Beberapa media China melaporkan mengenai trend kesihatan baharu tersebut apabila puluhan penduduk dalam kumpulan besar mula menyertai program senaman yang diilhamkan daripada pergerakan buaya itu.

Video tular yang dirakam di bandar besar seperti Xiangshan dan Changsha menunjukkan barisan panjang penduduk dengan berpakaian sedondon berserta sarung tangan industri merangkak beramai-ramai dengan perlahan.

Menurut portal Oddity Central, pergerakan tersebut dikatakan mampu menguatkan otot bahagian belakang badan dan melegakan sakit belakang sekiranya selalu diamalkan.

Ketua kumpulan ‘Crocodile Walk’ di Xiangshan, Li Wei berkata, dia pernah bergelut dengan masalah tulang belakang, tetapi selepas membuat senaman aneh itu selama kira-kira 8 bulan, kesakitannya hilang.

Menurut Pakar bedah Ortopedik Universiti Peking, Chen Xin, senaman itu kelihatan sama seperti melakukan pergerakan tekan tubi.

“Senaman itu akan mengurangkan tekanan pada cakera intervertebral dan membantu meningkatkan kekuatan saraf periferi,” katanya.

Bagaimanapun, Xin memberi amaran senaman itu tidak sesuai untuk mereka yang menghidap diabetes, tekanan darah tinggi atau penyakit jantung.

“Ini kerana ia mampu meningkatkan tekanan darah dengan cepat dan memberi lebih banyak tekanan pada jantung berbanding berjalan,” katanya lagi.

Baca Juga: Hempas murid hingga patah kaki, guru KAFA didakwa 

Baca Juga: Pengorbanan seorang ayah, ‘kejar’ bas demi anak