Wanita cuba buka pintu pesawat pada ketinggian 11,000 meter, ditangkap polis

  • Post author:

Polis menangkap seorang penumpang, Elom Agbegninou selepas menimbulkan situasi cemas apabila cuba membuka pintu sebuah pesawat komersial pada ketinggian 11,277 meter (m) di ruang udara Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Menurut akhbar Daily Star, Agbegninou, 34, juga didakwa menggigit paha mangsanya iaitu seorang penumpang lelaki yang kini trauma sehingga menyebabkannya mengalami Gangguan Stres Pasca Trauma (PTSD).

Mangsa turut menghubungi talian perkhidmatan pelanggan atau hotline veteran tentera untuk mendapatkan sokongan bagi mengatasi masalahnya.

Penumpang lelaki yang identitinya tidak didedahkan itu juga, terpaksa diberi ubat antibiotik dan suntikan untuk mencegah hepatitis di sebuah hospital selepas dia digigit dalam pesawat syarikat Southwest Airlines ketika dalam penerbangan dari Houston ke Columbus pada Sabtu lalu.

Walaupun mengalami kecederaan, lelaki malang itu berjaya ‘menumpaskan’ Agbegninou selepas dia terdengar kru syarikat penerbangan yang panik berkata, wanita tersebut menolak kru pesawat dan cuba membuka pintu pesawat tersebut.

Juruterbang pesawat itu terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Nasional Bill dan Hillary Clinton di Little Rock, Arkansas dengan ejen-ejen persekutuan menunggu untuk menahan suspek.

Pada satu ketika, dia mula menghantukkan kepalanya ke lantai pesawat, demikian menurut dokumen Mahkamah Daerah Timur Arkansas.

Agbegninou dilaporkan meninggalkan rumahnya untuk menaiki penerbangan tanpa membawa bagasi dan memilih untuk tidak memberitahu suaminya tentang perkara itu.

Agbegninou juga mendakwa dia mengalami masalah untuk bernafas, tetapi mengaku bahawa dia masih ingat cuba membuka pintu pesawat dan menggigit seorang penumpang lain.

Baca Juga: Bakal tinggalkan dunia seni, Diana Amir mahu fokus agama lepas selesai semua kerja

Baca Juga: [VIDEO] Gadis ini terlalu pantas tekan kalkulator, netizen seloroh risau jari dia pula patah nanti