Wanita pilih tak kahwin sebab nak sambung belajar, lelaki pula takut kos sara hidup tinggi

Ramai wanita dan lelaki zaman sekarang yang memilih untuk hidup bujang daripada berumah tangga. Di perlis hampir 30 peratus atau 87,000 penduduk adalah bujang berdasarkan data Banci Penduduk dan Perumahan 2020 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Angka tersebut direkodkan daripada jumlah keseluruhan populasi penduduk Perlis iaitu seramai 284,900 orang bagaimanapun, tidak diketahui apakah punca mereka tidak berkahwin memandangkan DOSM hanya bertindak untuk mengumpul data berkenaan sahaja.

Mengulas mengenai situasi tersebut, Pegawai Psikologi Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Zul Izzat Jamil berkata, golongan wanita lebih menumpukan perhatian kepada pelajaran dan karier manakala golongan lelaki lebih memikirkan kos sara hidup dan pertambahan komitmen.

“Bagi golongan wanita, mereka lebih menumpukan kepada pelajaran dan karier terlebih dahulu sehingga menganggap tiada keperluan untuk bergantung kepada lelaki.

“Manakala bagi golongan lelaki pula, majoritinya mungkin tidak berkahwin apabila memikirkan tentang pertambahan komitmen mereka di samping peningkatan kos sara hidup khususnya selepas pandemik Covid-19

“Pada zaman ini, golongan wanita juga sudah mempunyai pengetahuan dan mereka pastinya ingin berkahwin dengan seseorang yang stabil dari sudut kewangan,” katanya.

Justeru itu, kestabilan ekonomi seseorang memainkan peranan untuk mendorong mereka ke arah perkahwinan. Beliau juga bimbang hal ini akan menjadi trend pada masa hadapan dan menyebabkan populasi rakyat Malaysia terjejas.

Katanya, situasi itu juga akan membawa Malaysia menuju ke arah negara menua apabila tiada pertambahan kelahiran baharu disamping memberi kesan dalam aspek ekonomi.

“Ini bakal menyebabkan negara kekurangan tenaga kerja pada masa hadapan apabila populasi masyarakat semakin berkurangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Baca Juga: Jumpa pembalut luka terpakai dalam makanan, wanita rasa geli tekak

Baca Juga: Neelofa akui tersinggung netizen sebar foto Bilal, “bagilah saya sebagai ibu yang buat benda itu”