Seorang warga emas berusia 61 tahun dipercayai maut dalam kebakaran di rumahnya di Jalan Bukit Pertama 5, Taman Bukit Pertama, Bukit Siput, Segamat, awal pagi tadi.
Mangsa Mustaffar Batin dipercayai terperangkap dalam bilik sebaik api marak di rumahnya dalam kejadian yang berlaku pada 2.05 pagi itu. Kebakaran membabitkan bilik tidur dengan anggaran kemusnahan 30 peratus.
Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bandar Baru Segamat, Marzuki Ismail berkata, seramai 17 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru dan BBP Bandar Segamat ke lokasi bagi memadamkan kebakaran.
“Anggota terpaksa memecah pintu bilik bagi menyelamatkan mangsa di tingkat atas.
“Mangsa ditemui tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kesan melecur 20 peratus di badan, tangan, muka dan kaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan.
“Mayat dibawa ke Hospital Daerah Segamat (HDS), di sini untuk tindakan lanjut,” katanya.
Baca Juga: Warga emas status duda dipenjara 10 tahun lakukan amang seksual terhadap kanak-kanak