10 juadah popular di bazar Ramadan bakal naik harga tahun ini

10 juadah popular di bazar Ramadan bakal naik harga tahun ini. Semestinya bazar Ramadan akan menjadi tumpuan utama orang ramai tahun ini memandangkan kita memasuki fasa endemik.

Namun, 10 juadah yang popular dalam kalangan orang ramai dijangka mengalami kenaikan harga berikutan kos bahan mentah untuk menghasilkan makanan itu yang melonjak ketika ini.

Menerusi Sinar Ahad, antara juadah tersebut ialah roti john, martabak, kuih talam, tepung pelita, lepat pisang, puding karamel, masakan ayam, masakan ikan, ayam golek dan pelbagai jenis air.

Perkara tersebut diakui peniaga, Aminah Zakaria, 66, yang berpandangan kenaikan harga juadah seperti kuih muih dan lauk pauk terpaksa dilakukan ekoran kenaikan harga barang mentah di pasaran.

Katanya, kenaikan harga bermula dari 50 sen hingga RM2 terpaksa dibuat peniaga mengikut jenis juadah yang dijual.

“Tahun ini saya akan naikkan harga lauk pauk dan kuih muih yang dijual bagi menampung kos bahan mentah serta barangan asas yang tinggi ekoran kenaikan harga di pasaran.

“Jika dulu saya boleh jual sebiji kuih contohnya lepat pisang dan kuih bertalam dengan harga 40 sen sebiji, tetapi tahun ini saya terpaksa jual 70 sen hingga RM1 sebiji.

“Begitu juga dengan kuih tepung pelita yang menjadi kegemaran ramai, kalau dulu boleh jual lima biji RM3.50 tetapi tahun ini akan jual RM5 untuk jumlah sama,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, kenaikan harga juadah tidak terhad kepada jenis makanan sahaja malah harga jualan air pelbagai perisa juga akan dinaikkan.

Katanya, harga jualan teh ais madu sebelum ini ditetapkan RM3.50 secawan namun pada Ramadan nanti akan dijual pada harga RM5 sebungkus.

Sementara itu bagi Rohaida Abu, 30, lauk pauk yang dijual pada tahun ini akan dinaikkan antara RM1 hingga RM2 mengikut kuantiti yang diminta pelanggan.

“Nasi lemak ayam goreng berempah tahun ini dijual pada harga RM6 berbanding tahun lalu iaitu RM5 mengikut saiz potongan, begitu juga lauk ikan naik RM1 hingga RM2 seekor mengikut saiz dan harga pasaran semasa.

“Peniaga bukan sengaja mahu naikkan harga jualan, tetapi kena tampung kos bahan mentah yang meningkat,” ujarnya.

Semestinya kenaikan harga barang mentah ini memberi kesan tidak hanya kepada penjual malah kepada pembeli. Pembeli mungkin akan lebih berhati-hati dan tidak rambang mata ketika membeli di bazar ramadan.

Namun diharapkan agar kerajaan dapat mengawal harga bahan mentah kerana peniaga tidak akan menurunkan harga selepas ini walaupun harga bahan mentah sudah turun.

Baca Juga: ‘She said yes’- Aedy Ashraf lamar Amelia, peminat pesan jangan cuba-cuba sakitkan hati Amelia

Baca Juga: Dakwaan ustaz kononnya matahari, bumi tidak bergerak. Nah, ini fakta yang sebenarnya!