11 anggota polis berusia 35 hingga 51 tahun ditahan positif dadah

11 anggota polis berusia 35 hingga 51 tahun positif dadah. Mereka yang ditahan ini terdiri dari lans koperal hingga koperal ditahan selepas ujian yang dilakukan secara rambang itu menunjukkan urin mereka positif dadah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, ujian yang dilakukan secara rambang itu mengesan seramai sembilan daripadanya positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine, manakala dua lagi positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol (THC) lapor Harian Metro.

“Seramai 31 anggota dari ibu pejabat polis daerah (IPD) pertama diambil urin secara rambang dan sembilan orang daripadanya didapati positif dadah.

“Seramai 25 orang lagi anggota dari IPD kedua diambil urin secara rambang dan dua orang daripadanya didapati positif dadah,” katanya mengesahkan ketika dihubungi, malam tadi.

Kesemua tangkapan akan disiasat

“Kesemua tangkapan sudah disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan.

“Hanya seorang daripada anggota yang ditangkap pernah ditangkap di bawah Sek 15(1)(a) ADB 1952,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun ia adalah ujian saringan awal terhadap anggota berkenaan.

“Selepas kita hantar urin ini untuk ujian patalogi dan jika mereka disahkan masih lagi positif dengan dadah tertentu, kita bercadang untuk tuduh di mahkamah,” katanya.

Baca Juga: Berbelanja RM98,000 sehari, influencer dikecam paparkan diri naik helikopter polis

Baca Juga: Gagal kawal inflasi, kumpulan pelajar ugut protes di jalanan Sabtu ini