14 Tahun Berlalu.. Di Mana Pembunuh Nurin Jazlin?

Bagi yang pernah merasai kehilangan orang tersayang baik Ibu atau Bapa, Suami atau Isteri ataupun Adik atau Saudara kandung yang lain mahupun Anak sendiri.. pasti tahu betapa peritnya untuk menerima hakikat kehilangan itu.

Hakikatnya ia memakan masa untuk boleh diterima dan diredhai.. tidak semudah apa yang dinasihatkan oleh orang sekeliling.

Namun begitu hakikat yang diterima tetap akan diiringi bersama dengan kenangan yang tidak mungkin dapat kita padam dari ingatan.. Ingatan yang akan kekal abadi hingga ke akhir hayat.

Hidup tidak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan..

TRAGEDI melibatkan pembunuhan kejam seorang kanak-kanak, Nurin Jazlin Jazimin, 8, bermula selepas dia dilaporkan hilang ketika keluar ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju.

Pelbagai usaha dilakukan melalui media dan orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengesan murid tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Setapak, Setapak, Kuala Lumpur itu.

Pada pagi 17 September 2007, sebuah beg sukan yang ditinggalkan di hadapan sebuah rumah kedai di PJS 1/48, Petaling Jaya ditemui oleh pemilik kedai.

Beg itu mengandungi badan kanak-kanak tanpa seurat benang dan dibiarkan dalam keadaan bogel.

Mayat kanak-kanak yang tidak dikenali itu yang disumbat dalam beg berkenaan dan polis percaya bahawa kanak-kanak itu telah mati lebih daripada enam jam sebelum penemuan berkenaan.

Lebih menyayat hati, timun dan terung ditemui disumbat dalam kemaluan kanak-kanak itu yang juga telah menyebabkan rektumnya pecah.

Hasil bedah siasat menyatakan jangkitan bakteria telah menyumbang kepada kematian mangsa.

Ketika kejadian, ibu bapa Nurin Jazlin tidak dapat mengenal pasti mayat itu sebagai anak perempuan mereka kerana perubahan dalam ciri-ciri fizikal kanak-kanak terbabit.

Pada mulanya mayat kanak-kanak itu dianggap warga asing kerana tidak mempunyai parut suntikan Bacillus Calmette–Guerin (BCG).

Akhirnya, hasil daripada ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan mayat itu merupakan Nurin Jazlin.

Jenazah kanak-kanak itu kemudian dituntut oleh keluarganya dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota, Setapak, Kuala Lumpur pada 21 September selepas solat Jumaat.

Nurin Jazlin merupakan anak kedua pasangan Jazimin Abdul Jalil dan Norazian Bistaman daripada tiga adik beradik ketika itu.

Menurut Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, kes Nurin Jazlin merupakan kes pertama melibatkan kejadian pembunuhan kejam ketika beliau menjawat jawatan Ketua Polis Negara.

Musa berkata, pihak polis telah berusaha sedaya upaya mengesan pembunuh yang terlibat melalui hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejiranan setempat di lokasi tempat tinggal kanak-kanak itu namun tidak mendapat gambaran yang jelas kerana rakaman itu kabur.

Katanya, CCTV berkenaan bukan dipasang pihaknya di kawasan perumahan itu tetapi milik individu.

“Sebenarnya kita sukar kesan nombor pendaftaran motosikal digunakan si pelaku dan tidak dapat cam wajahnya kerana rakaman tidak jelas.

“Walaupun ia menyukarkan kita menjalankan siasatan ketika itu namun kita ambil pendekatan hantar sampel rakaman CCTV ke Amerika Syarikat untuk dianalisis,”

Musa berkata, walaupun pihaknya berjaya menahan antara tiga hingga empat orang yang disyaki terlibat namun pengesanan suspek utama sukar dibuat ekoran gambar pelaku tidak dirakam dengan jelas dan sehingga kini masih bebas.

“Kita jalankan siasatan secara menyuluruh dengan menemubual keluarga dan siasat latar belakang keluarga Nurin Jazlin serta orang di sekeliling kanak-kanak itu.

“Apa yang kita peroleh daripada hasil siasatan dijalankan terhadap kes ini, motif kematian mangsa adalah disebabkan pelaku merupakan seorang pedofilia (suka kepada kanak-kanak) dan memenuhi hajatnya melampiaskan nafsu terhadap kanak-kanak itu,”

Katanya, oleh kerana si pelaku tidak mahu perkara terbabit diketahui maka dia dipercayai mengambil keputusan menyumbat mayat kanak-kanak itu di dalam beg dan membuang mayat itu di kawasan lain.

“Kita juga turut jalankan pemeriksaan di kawasan tempat tinggal Nurin Jazlin dan sewaktu pemeriksaan dibuat, pihak polis tidak mengesan bahawa ada golongan pedofilia di kawasan itu dan syak ia dilakukan bukan penghuni di kawasan itu namun oleh orang luar,”

Menceritakan detik penemuan mayat kanak-kanak malang itu, Musa berkata, dia begitu sedih dengan keadaan mayat kanak-kanak itu yang bukan sahaja dibunuh, diseksa dengan perbuatan seksual malah mayatnya turut disumbat dalam beg.

“Saya jadi geram dan marah. Apalah dosa kanak-kanak itu diperlakukan sedemikian. Kanak-kanak itu tidak berdosa, malah dia tidak mengerti apa-apa.

Biarpun 14 tahun telah berlalu Bapa Nurin Jazlin walaupun secara jujur mengakui terdapat kesangsian sama ada mayat yang dikebumikan adalah anaknya atau bukan tetap berharap siasatan kes anak perempuannnya tidak berakhir begitu sahaja..

utusan