2 kanak-kanak mati kerana makan dari tong sampah: Kita semua bertanggungjawab

Rakyat negara ini tidak bebas dari tanggungjawab kepada Allah apabila dua kanak-kanak kecil Myanmar meninggal dunia di Langkawi semalam akibat memakan makanan dari tong sampah.

Ini kerana, keadilan sosial dalam Islam tidak terhad kepada sesama agama dan bangsa sahaja, kata bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Nik Mohamad Hasyudeen.

“Apabila 2 anak kecil hilang nyawa kerana terpaksa makan dari sisa makanan buangan, adakah kita semua bebas dari dipertanggungjawabkan oleh Allah?

“Keadilan sosial di dalam Islam tidak terhad kepada sesama agama dan bangsa saja,” kata beliau yang dinyatakan menerusi facebook beliau.

Petang semalam, polis mengesahkan, dua beradik warga Myanmar maut selepas dipercayai memakan sisa makanan dari tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa dekat Bukit Malut, Langkawi.

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata polis menerima laporan berhubung kematian dua kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Nizambudin Jamaludin, 4, dan Ngei, 2, kira-kira 6.15 petang.

“Siasatan awal mendapati, pada 5.30 petang bapa mangsa yang berumur 36 tahun ternampak dua anaknya berada di kawasan tong sampah dalam keadaan terhuyung-hayang sebelum mengangkat kedua-dua mangsa ke rumah jiran berdekatan.

“Bapa mangsa mendapati mulut kedua-dua anaknya berbuih dan selang beberapa minit kemudian anaknya sudah tidak bernafas,” katanya dalam kenyataan di Langkawi, lapor Bernama.

Shariman berkata ketika kejadian bapa mangsa keluar bekerja dengan mengambil upah membaiki kelengkapan bot dan melakukan kerja kampung.

“Mereka tidak mempunyai rumah dan hanya menumpang di rumah jiran di kampung tersebut,” katanya.

Mayat kedua-dua beradik itu dihantar ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, katanya.

COMMENTS