4 kenderaan rosak selepas bas tanpa pemandu mengundur

  • Post author:

4 kenderaan rosak selepas bas tanpa pemandu mengundur secara tiba-tiba di hadapan sebuah hotel di Jalan Jato 1, Pekan Goh Tong, Genting Highlands ahad lalu.

Memetik Haria Metro, Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 6 petang.

“Siasatan dilakukan mendapati bas berkenaan yang juga milik sebuah institut pendidikan di Kuala Terengganu diletakkan di hadapan hotel dalam keadaan enjin dimatikan kira-kira jam 5 petang.

“Pemandu bas terbabit berusia 60 tahun dikatakan keluar untuk beriadah sebelum kenderaan itu bergerak sendiri secara mengundur kira-kira jam 6 petang,” katanya.

Zaiham berkata, bas itu kemudian melanggar empat kenderaan membabitkan sebuah kenderaan masing-masing sebuah pacuan empat roda (4X), kenderaan pelbagai guna (MPV), kenderaan utiliti sukan (SUV) dan sebuah kereta.

“Kemalangan itu menyebabkan pelbagai kerosakan terhadap empat kenderaan berkenaan. Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu.

“Kes itu disiasat mengikut Rule 14 (1)(B) LN 166/59 iaitu tidak memasang brek semasa meninggalkan kenderaan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya memandu kenderaan berhati-hati dan berhemah selain memastikan kenderaan diselenggara dengan baik serta dalam keadaan selamat.

Terdahulu, satu video berdurasi satu minit dua saat menunjukkan pelanggan serta pekerja sebuah restoran di lokasi terbabit sempat melarikan diri apabila bas berkenaan yang mengundur kemudian melanggar kenderaan lain tular di media sosial.

Baca Juga: Pelik! Biri-biri jantan dipenjara 3 tahun kerana membunuh

Baca Juga: Sejuk menggigil hantar pesanan, ‘rider’ ini termenung sikap terburu-buru pelanggan