43 MP Umno-BN sokong PN, kata Ahmad Maslan

Setiausaha Agung Umno, Datuk Ahmad Maslan mendakwa seramai 43 Ahli Parlimen Umno dan komponen lain dalam Barisan Nasional (BN) menyokong Perikatan Nasional (PN).

Dalam masa sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian menegaskan Umno menolak kerjasama dengan DAP dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Umno tolak kerjasama dengan DAP dan Anwar Ibrahim.

“Umno kekal dalam Muafakat Nasional (MN). MP Umno dan BN yang sokong PN ada 43 MP,” katanya.

Ahmad juga mendakwa BN merupakan komponen terbesar parti pemerintah pada masa ini sekiranya dicampur dengan jumlah MP Umno yang berpindah ke Bersatu.

“Jika dicampur 16 MP yang berpindah ke Bersatu, kerusi BN sebenarnya 59/113,” katanya lagi sambil memberi jaminan jumlah tersebut kononnya akan memastikan rakyat terbela ketika musim penularan Covid-19 ini.

Pada 15 Oktober lalu, Ahmad telah menekankan Umno-BN mempunyai paling banyak kerusi daripada jumlah 113 kerusi Parlimen yang membentuk kerajaan.