47 Pertuduhan, Keputusan Zahid bebas atau tidak akan diketahui esok

  • Post author:
  • Post comments:0 Comments

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid yang sedang berdepan dengan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah serta penggubahan wang haram menggunakan dana Yayasan Akal Budi miliknya akan diketahui tidak kurang dari 24 jam dari sekarang.

Memetik dari Malaysiagazzete,setelah mendengar keterangan daripada 99 saksi dengan perjalanan kes hampir tiga tahun lamanya, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Collin Lawrence Sequerah akan memutuskan sama ada Ahmad Zahid bakal bebas dari semua pertuduhan atau jika wujud prima facie, maka beliau akan diarah membela diri.

Ahmad Zahid yang sebelum ini merupakan mantan Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Dalam Negeri (KDN) telah mula dibicarakan pada 18 November 2019 dan pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran dan peguam, Hisyam Teh Poh Teik serta Hamidi Mohd Noh yang mewakili tertuduh.

Pada 6 Disember tahun lepas, Collin telah menetapkan 24 Januari (esok) jam 9 pagi bagi menetapkan keputusannya selepas mendengar hujah akhir yang berlangsung 24 hari sejak 6 September 2021.

Antara saksi utama pendakwaan yang menjadi tumpuan ialah bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan@Ramly, pengurup wang, Omar Ali Abdullah dan rakan kongsi firma guaman Lewis & Co, B Muralidharan.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap 12 tuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Beliau juga berdepan dengan tuduhan pecah amanah dengan membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan cukai jalan kenderaan, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan itu dilakukan di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016 dan jika didapati bersalah boleh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi lapan tuduhan rasuah, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat, iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Ia bagi melaksanakan penambahan pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan dalam halaman biodata polycarbonate Pasport Malaysia untuk Jabatan Imigresen Malaysia, sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016 dan 15 Mac 2018, mengikut Seksyen 16(a)(B)r Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta SPRM 2009) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Dalam pada masa, Ahmad Zahid juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang.