Sebanyak 2066 kes kanak-kanak di bawah umur 18 tahun dilaporkan hilang sejak tiga tahun kebelakangan ini.
Baru-baru ini juga, kecoh di media sosial kanak-kanak autistik bernama Zayn Rayyan yang hilang dan ditemui dibunuh di sekitar perumahan yang didiaminya.
Walaupun ditemani ibu, kanak-kanak malang ini dikatakan ‘ghaib’ dibelakang ibunya ketika bersama-sama berjalan menuju ke kediaman mereka.
Namun hingga kini status kes tersebut masih berjalan dengan beberapa petunjuk yang menjurus kepada seorang individu.
Ini merupakan empat kes kehilangan dan pembunuhan kanak-kanak yang pernah menggemparkan rakyat Malaysia.
1. Nurul Huda Abdul Ghani (2004)
Nurul Huda Abdul Ghani, yang sering dipanggil ‘Manja’, adalah anak bongsu berusia 10 tahun. Pada 17 Januari 2004, dia pergi menunggang basikal untuk membeli ikan dan telur bagi keluarganya di sebuah kedai yang terletak 500 meter dari rumahnya.
Namun, kanak-kanak tersebut tidak pulang ke rumah hingga jam 12.45 tengah hari yang menyebabkan kebimbangan ahli keluarga yang lain.
Mereka kemudian membuat laporan polis yang akhirnya membawa kepada penemuan tubuhnya yang berada dalam keadaan kritikal di tandas Stesen Janakuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB). Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di pusat kesihatan.
Pengawal keselamatan TNB iaitu Mohd Abbas Danus Baksan, telah dituduh dengan kesalahan rogol dan meliwat mangsa. Namun, suspek dilaporkan dibebaskan daripada tuduhan membunuh yang mengakibatkannya terlepas daripada hukuman gantung.
2. Nurin Jazlin Jazimin (2007)
Sungguh tragisnya! Siapa yang menyangka hayat seorang kanak-kanak yang comel berusia lapan tahun, Nurin berakhir dengan cara yang sangat menyedihkan.
Nurin dilaporkan hilang setelah pergi ke pasar malam berdekatan dengan rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, untuk membeli klip rambut pada 20 Ogos 2007.
Namun, pada pagi 17 September 2007, seorang pemilik kedai menemui sebuah beg sukan yang ditinggalkan di hadapan rumah kedai di PJS 1/48, Petaling Jaya. Lebih mengejutkan, dalam beg itu ditemukan mayat bogel seorang kanak-kanak yang tidak dikenali, yang diletakkan dalam posisi janin.
Pada awalnya, ibu bapa mangsa menyangkal dakwaan bahawa kanak-kanak itu merupakan anak mereka. Namun, ujian DNA akhirnya mengesahkan mayat tersebut sebagai Nurin Jazlin. Meskipun kes ini dihimpit dengan pelbagai kemungkinan, suspek yang bertanggungjawab masih belum tertangkap dan kes ini masih belum selesai hingga kini.
3. Nurul Nadirah Abdullah @ Dirang (2012)
Nurul Nadirah Abdullah atau dipanggil Dirang, 5 dilaporkan hilang pada 1 Mac 2012. Dirang dilaporkan keluar untuk membeli mi segera dan telur di sebuah kedai runcit yang terletak di bawah rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam.
Namun, seperti kes kehilangan yang lain, Dirang ditemukan mati akibat pembunuhan dan mayatnya dibakar pada 8 Mac 2012. Misteri kehilangan Dirang ini terjawab setelah sekujur mayat yang telah dibakar ditemui dalam lubang di tapak perumahan terbengkalai di Damai, Masai, dan identitinya disahkan sebagai Nurul Nadirah Abdullah.
Lebih menyayat hati, suspek yang berhasil ditangkap oleh polis dikatakan telah mencekik Dirang hingga mati dan kemudian memasukkan mayat mangsa ke dalam lubang serta membakarnya. Motif di balik kejahatan tersebut dilaporkan hanya kerana suspek merasa tersinggung, dihina, dan dipandang rendah oleh nenek mangsa.
Walau bagaimanapun, suspek telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati pada tahun 2013 lalu selepas didapati bersalah membunuh Dirang.
4. Noor Amila Edrus Norsham (2016)
Noor Amila Edrus Norsham, 5 tahun, merupakan seorang anak yang pintar dan kerap meluangkan masa di surau untuk solat berjemaah. Pantang mendengar bunyi azan, kanak-kanak tersebut akan segera pergi ke surau ataupun masjid berdekatan. Dia dipercayai hilang pada 11 Ogos 2013 setelah keluar menunaikan solat Maghrib di surau yang terletak 20 meter dari rumah ibu tirinya di Jinjang.
Walau bagaimanapun, mayat mangsa akhirnya ditemui pada 18 Ogos kira-kira jam 12.30 tengah hari di kawasan semak dekat Kampung Kemensah, Hulu Kelang. Sejurus penemuan mayat itu, kes Noor Amila diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Lebih menyedihkan, suspek dalam kes ini adalah suami kepada kakak tiri Noor Amila. Dikatakan bahawa suspek telah mengikat kaki dan tangan mangsa sebelum membuang mayatnya dari atas tebing yang tingginya kira-kira 20 meter.
Sangat menyayat hati apabila mayat dijumpai, kepalanya telah terpisah daripada badan. Motif pembunuhan didakwa kerana hutang dan suspek turut dihukum gantung sampai mati.
5. Zayn Rayyan
Kanak-kanak autisme ini dilaporkan hilang ketika berada di belakang ibunya walaupun berada di kawasan rumah.
Polis Daerah Petaling Jaya dan persatuan penduduk kediaman berkenaan melakukan operasi pencarian dari rumah ke rumah serta mengawal laluan keluar masuk di blok kediaman bermula 8 malam.
Jasad Zayn Rayyan ditemui di aliran anak sungai kira-kira 200 meter dari kediamannya kira-kira pukul 10 malam. Polis berkata lokasi penemuan mayat itu merupakan kawasan pencarian yang sudah dilakukan Unit Anjing Pengesan (K9) hari sebelumnya.
Ibu dan bapa kepada anak ini dituduh atas pengabaian kanak-kanak manakala adik kepada Zayn Rayyan pula diberikan penjagaan sementara kepada nenek saudaranya.
Baca juga: Kembali tular! Perbualan ‘whatsapp’ ibu Zayn Rayyan ini rupanya buat ramai netizen panas hati