“Ada degree tapi jadi tukang kebun, mak betul betul kecewa dengan aku”

Hari raya sememangnya adalah sambutan yang sangat ditunggu oleh sekalian umat islam di muka bumi ini.

Namun, kadang kala hari raya yang mulia itu dicemari oleh mulut dan kata-kata nista yang dihamburkan oleh orang lain hingga merosakkan mood raya.

Seperti lelaki ini yang sudah 5 tahun tidak pulang beraya di kampung akibat ingin menjaga maruah serta air muka ibunya yang seringkali diasak tentang dirinya yang bekerja sederhana.

Assalamualaikum pembaca semua. Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua. Saya berumur 32 tahun, saya merupakan seorang yang bergraduan dan pekerjaan saya adalah cleaner dan tukang kebun sekolah.

Saya ingin meluah, pada tahun ini saya tak balik raya lagi. Sebenarnya sejak tahun 2020 lagi sebab saya tak suka suasana di kampung. Kenapa saya tak suka? Setiap kali saya balik soalan yang suka di tanya kerja apa? Bagi saya itu adalah soalan yang tak berapa selesa.

Dulu zaman UPSR di tanya berapa A. Zaman PMR tanya dapat berapa A. Zaman SPM tanya lagi soalan sama. Zaman STPM tanya lagi trial dapat berapa. Lepas tu lepas STPM tanya lagi sambung belajar mana. Bila kita tak dapat sambung dia bandingkan anak dia dapat sambung belajar.

Bila kita sambung belajar dia bandingkan pulak anak dia belajar di upsi. Maklum lah kita ni sambung uni cap ayam. Bila dia tanya kita kerja apa dia bandingkan anak dia jadi cikgu lepas tu jamin masa depan. Akhirnya kita dapat tazkirah free pilih lah kerja yang jamin masa depan macam anak dia.

Dia tak tahu kita ni sah berusaha pelbagai cara nak dapat kerja tetap.. Bergelen dah print dokumen hantar sana sini. Beratus batu cari kerja seluruh malaysia. Tapi masih lagi tak dapat, masih belum ada rezeki. Mereka tak tahu bertahun kita isi permohonan tapi sangkut ujian online.

Saya bukan apa.. Bila orang tanya dekat mak saya, saya nampak jelas air muka mak saya tu berubah. Itulah akhirnya, saya kena bebel dengan mak saya. Katanya saya dah malukan dia, tak macam anak orang lain. Sebab tu saya tekad saya tak nak balik kampung takut air muka mak saya jatuh lagi.

Saya tahu silap saya tak pandai macam orang lain. Walaupun saya belajar bagai nak gila tapi saya bodoh. Nak buat macam mana kan. Saya grad pun lambat sebab saya sambung belajar lambat. Itu pun sebab saya repeat stpm untuk sambung belajar peringkat degree.

Kadang-kadang kena perli sepupu sepapat sebab kita tak pandai macam mereka. Mereka semua ada jadi pendidik, pegawai kerajaan, kerja Petronas, saya sahaja yang kerja kuli. Ingin jadi pendidik tak layak sebab bukan lepasan ISMP.

Masa nak buat permohonan jurusan, saya kena perli katanya kalau saya jadi pendidik nanti anak bangsa rosak. Mereka lain sebab mereka lepasan ISMP lagi layak. Selalu kena sound kesilapan saya memilih course. Salah pilih course silap percaturan hidup pilih course yang susah dapat kerja

Kadang-kadang saya rasa sedih sangat. Seolah-olah sia – sia saya sambung belajar. Tapi tak apa.. Untuk tahun ini, masuk tahun ke-5 saya tak balik raya di kampung. Saya hanya nak jaga hati saya yang sekian lama kecewa kerana gagal dalam hidup.

Saya tak mintak gagal saya dah usaha tapi takdir saya gagal. Saya faham orang tak nak tengok usaha kita, orang hanya nak tengok result kita. Demi menjaga hati orang tua, saya ambil keputusan untuk tak balik. Hanya duduk di rantauan orang sambut raya dengan penuh sederhana.

Nasihat saya pada semua, kalau orang beraya, janganlah tanya soalan macam tu. Jangan lah tanya kerja apa, bila nak kahwin, dalam kelas nombor berapa, belajar mana, boleh berapa A? Tolong lah.. Kita tak ada hak untuk tanya.

Sekian dari saya.. Doakan saya semoga saya boleh jadi pendidik. Saya tahu saya tak layak tapi izinkan saya untuk terus berusaha doakan lah supaya saya dapat apa yang saya usaha.. – Teruna. (Bukan nama sebenar)

Baca juga: Ramai taktahu ini kisah lemas yang tak melibatkan air, No 2 tu paling terkejut