Seorang aktivis sosial Mukmin Nantang kecewa dengan pelbagai tuduhan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew terhadap masyarakat Bajau Laut.
Segala alasan itu dilihat hanya untuk mewajarkan tindakan perobohan dan pengosongan rumah di kawasan Taman Marin Tun Sakaran (TMTS) Semporna yang kononnya atas faktor keselamatan.
Berikut tulisan lengkap anak jati Sabah ini:
Menjawab tuduhan Christina Liew dan isu-isu seputar Masyarakat Bajau Laut.
Sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah tuduhan ini menunjukan betapa ceteknya otak seorang menteri.
Kalau orang awam yang buat persepsi liar saya maafkan, saudara-saudari mungkin tidak mengetahui, ini suatu proses pembelajaran dan pengetahuan baru.
1) Penduduk roboh dan bakar rumah sendiri? Di mana logiknya ada orang mahu bakar rumahnya sendiri? Lihat video ini. Sudah terang lagi bersuluh. Ini bukti kukuh kalau di bawa ke mahkamah!
2) Etnik Bajau Laut dan Suluk bukan PTI, mereka Bumiputera Sabah dan masyarakat adat di Sabah. Terlalu banyak kajian dan pembuktian sejarah.
Berapa banyak pengkaji dunia dan tempatan mengkaji tentang mereka. Sila baca. Buktinya penduduk yang diroboh dan dibakar rumahnya tidak ada yang ditangkap. Mereka dibiarkan saja hidup merempat.
3) Contohnya di Pulau Budgaya kelmarin saya bersama pasukan pencari fakta Borneo Komrad ke sana, penduduk di situ adalah etnik suluk dan mempunyai kad pengenalan.
Mereka orang tempatan. Mereka masyarakat adat yang berada di pulau tersebut sebelum Taman Tun Sakaran diwujudkan.
Mereka nelayan serta petani mangga dan kelapa sebelum wujudnya Taman Tun Sakaran. Chistina kata seola-seola benda ini baru dan sebuah pembukaan hutan besar-besaran.
Hakikatnya hutan sangat tebal, kebun mereka sangat kecil. Kebun Durian Musang King beribu kali ganda besarnya dari kebun mereka yang sekangkang kera di kaki bukit.
Nama-nama penduduk ada dalam pembentukan Taman Tun Sakaran. Mereka ada kuburan nenek moyang yang lama di sana dan ada bukti pokok ditanam yang sudah puluhan tahun.
Ini bukti adat yang sangat kukuh. Mereka juga ada dokumen yang lengkap membuktikan mereka telah lama menduduki tempat itu.
4) Etnik Bajau Laut pula selalu dituduh sebagai penjenayah dan kononnya perkampungan mereka jadi sarang penyeludup dadah, pengganas dan sebagainya.
Ramai orang telah tularkan gambar-gambar indah komuniti Bajau Laut contohnya di Pulau Maiga. Ramai yang sedih. Beribu pelancong datang ke kampung mereka, semua aman saja pulang. Saya ke Pulau Maiga lebih 10 kali. Saya ke sejak tahun 2017 lagi.
Kampung itu sangat aman dan unik. Sangat rugi generasi akan datang tidak mampu melihat kebudayaan tradisi mereka lagi.
5) Tuduhan Bajau Laut selalu membuat masalah sosial di pekan-pekan. Sebab apa? Sebab kehidupan mereka diceroboh dari dulu. Mereka dipaksa merempat ke darat.
Sekarang kita musnahkan lagi kehidupan mereka, mereka tidak disediakan tempat lain untuk berteduh, ke mana mereka mahu pergi?
Bajau Laut tidak menceroboh sempadan negara tapi negara yang telah menceroboh kehidupan mereka. Malaysia baru wujud 60 tahun yang lalu? Sebelum 60 tahun siapa manusia dan komuniti yang ada di laut ini? Iqra’.
Mereka tidak boleh buat rumah di laut tapi seperti cendawan tumbuh selepas hujan ‘resort’ mewah di dirikan di atas laut. Malangnya konsep ‘resort’ meniru rumah kebudayaan bajau laut tapi hari ini rumah mereka dimusnahkan.
Idea siapa pusat pelancongan atas laut ini kalau bukan datang dan diinspirasikan dari kehidupan bajau laut yang sememangnya indah, aman, harmoni, unik dan estetik.
6) Ketika keunikan Bajau Laut jadi perbualan dunia sehingga masuk National Geography, siapa paling terhegeh-hegeh mengaku dan ‘claim’ mereka?
Mereka jadi bahan promosi pelancongan untuk tingkatkan ekonomi Malaysia. Setelah Semporna terkenal di mata dunia mereka jadi apa? Habis madu sepah dibuang.
Banyak sebenarnya saya ingin tulis. Bagi saya ruang untuk tulis dari masa ke semasa. Keadilan ini perlu ditegakkan.
Saya memahami dan membangun pendidikan alternatif untuk anak-anak komuniti ini sejak 2015 yang lalu. Semasa saya masih mahasiswa lagi saya sudah pun tinggal di perkampung mereka.
2018 saya ambil keputusan tinggal secara tetap dalam komuniti mereka. Saya mengerjakan pendidikan anak masyarakat adat laut dan mengamati isu mereka sehingga hari ini.
Betapa hancurnya hati saya melihat masyarakat ini dibuli, diinjak nilai dan martabat diri mereka sebagai manusia habis-habisan tanpa pembelaan.
Saya menyaksikan sendiri penderita mereka. Mereka dihina oleh masyarakat kerana dianggap hina, kotor, miskin, bodoh dan sebagainya. Ramai yang memandang merendah mereka. Persoalannya bagaimana mereka mahu hidup dengan nilai yang baik, bersih, punya harta dan pandai kalau mereka dinafikan hak untuk berpendidikan?
Bukan sedikit saya dengar dan baca komentar-komentar orang awam yang sewenangnya mengeluarkan perkataan “bunuh saja mereka!”, “bakar mereka hidup-hidup” “tembak saja mereka kan senang”. Agama apa yang membenarkan ini?
Binatang saja pun harus dikasihani inikan manusia. Saudara kita. Mereka tidak dapat memilih untuk lahir seperti apa. Semoga nikmat lahiriah yang kalian dapat ini tidak tarik agar kalian boleh terus bermegahan.
Akhir kata, saya ingin mengajak Christina Liew untuk duduk satu pentas forum atau debat dengan saya.
Christina boleh pilih tempat, moderator dan tema mengenai isu ini untuk dibahaskan. Christina boleh keluarkan data yang dia ada dan saya keluarkan fakta yang saya ada. Ini lebih adil untuk masyarakat umum sama-sama menilai isu ini.
BACA JUGA Ini puncanya Kim Kardashian pernah terpaksa hadiri mesyuarat ‘Zoom’ dalam tandas berkunci