60 tahun tak ‘move on’ dengan cinta pertama, datuk 86 tahun ini akhirnya melamar kekasih lama

Seorang datuk berusia 86 tahun berkahwin dengan cinta pertamanya semasa mereka masih pelajar universiti selepas bertemu semula setelah terpisah selama beberapa dekad.

Zhou Guilin dari bandar Yiyang dalam wilayah Hunan berkahwin dengan Yang Xiugui, 81, pada 14 April lalu.

Pasangan itu dilaporkan telah menjalin hubungan cinta semasa belajar di Universiti Peking, namun berpisah setelah menamatkan pengajian.

Kedua-dua dari mereka kemudian berkahwin dengan pasangan yang mereka pilih dan membentuk keluarga masing-masing.

Namun, selepas kehilangan pasangan mereka, Guilin dan Xiugui bertemu kembali dan mula menjalin hubungan mesra seperti ketika mereka di universiti sebelum akhirnya memutuskan untuk berkahwin.

Mengikut klip video yang dikongsi di media sosial, majlis perkahwinan pasangan itu dijalankan secara sederhana dan hanya dihadiri oleh keluarga serta rakan-rakan terdekat mereka.

Antara yang menarik perhatian adalah paparan beberapa puisi menyentuh hati dengan salah satu daripadanya berbunyi: “Selama 60 tahun, bagaikan burung layang-layang yang terpisah, tiada buku brocade (buku teks pelajar kolej) yang mampu menceritakan betapa mendalamnya kerinduan ini. Kini  kami menulis cinta pertama kami semula.”

Baca juga: “Seumur hidup tak pernah kenal rupa ayah apatah lagi nafkah, bila dah nak meninggal baru dia cari aku”