800 kakitangan swasta letak jawatan sebab tak mahu kerja di pejabat

800 kakitangan swasta letak jawatan sebab tak mahu kerja di pejabat. Kejadian yang berlaku di sebuah syarikat di India apabila menerima surat perletakan jawatan sejak dua bulan lalu.

Menurut laporan Inc42, WhiteHat Jr sebuah platform belajar kod yang dimiliki syarikat BYJU’S, meminta kakitangannya kembali ke pejabat dalam masa sebulan.

Keputusan untuk menamatkan kerja dari rumah akibat pandemik Covid-19 diumumkan dalam e-mel syarikat pada 18 Mac lalu.

Ia mengakibatkan lebih 800 kakitangan termasuk pekerja sepenuh masa, bahagian jualan, pengekodan dan matematik memutuskan untuk meletakkan jawatan.

Lebih ramai lagi kakitangan akan berhenti dalam beberapa bulan akan datang.

Seorang daripada kakitangan yang meletak jawatan berkata, tindakan menyuruh mereka kembali bekerja di pejabat dalam tempoh masa singkat adalah tidak adil

“Ada yang mempunyai anak, ibu bapa yang berumur dan sakit manakala yang lain mempunyai tanggungjawab lain,” katanya.

Katanya, polisi kembali ke pejabat bukan langkah penjimatan kos syarikat kerana mereka mengalami kerugian.

Seorang lagi bekas kakitangan berkata, gaji mereka boleh menjadi satu lagi faktor untuk meletakkan jawatan secara besar-besaran.

Ketika pengambilan, kakitangan dimaklumkan lokasi kerja mereka iaitu sama ada di Gurugram, Mumbai dan Bengaluru.

Bagaimanapun, selepas bekerja dari rumah selama dua tahun, kakitangan beranggapan gaji mereka harus disemak untuk memadankan kos sara hidup di bandar yang mahal.

Ketika bekerja di rumah, gaji tersebut dilihat mencukupi namun kos sewa rumah di bandar serta kos ulang alik ke pejabat seharusnya dikira semula kerana gaji tersebut dilihat tidak mencukupi untuk menampung mereka.

Sementara itu, dalam kenyataan WhiteHat Jr berkata, kebanyakan kakitangan jualan dan sokongan dipanggil melaporkan diri ke pejabat Gurgaon dan Mumbai mulai 18 April lalu sebagai sebahagian daripada usaha mereka kembali ke tempat kerja.

“Kami membuat pengecualian untuk keperluan perubatan dan peribadi serta menawarkan bantuan penempatan semula seperti yang diperlukan.

“Hanya guru kami akan terus bekerja dari rumah,” katanya.

Baca Juga: Masa memandu tiba-tiba lampu enjin menyala, jangan panik dan ikuti langkah ini

Baca Juga: Touch ‘n Go tawar penggantian RFID percuma jika tag anda rosak