Abadikan rumah agam milik arwah suami Noniswara untuk pusat tahfiz dan sekolah agama

Datin Seri Noniswara Baharuddin baru sahaja kehilangan suami tercinta iaitu Datuk Seri Dr Sheikh Nordin Sheikh Ahmad akibat daripada strok, pada malam Ahad.

Susulan itu satu video tular yang mana Noniswara sendiri berkongsi tentang rumah agam milik suaminya yang terletak di Kampung Batu Gading, Temerloh di TikTok.

Rumah yang diberikan nama Dato’ Syeikh Residences itu dijadikan sebagai pusat tahfiz dan sekolah agama sejak hampir dua tahun.

Noniswara berkata, arwah suaminya memilih untuk tinggal di rumah arwah kakaknya apabila pulang ke kampung biarpun rumah agam cukup besar kerana enggan mengganggu ketenteraman anak-anak tahfiz.

Bila kami pulang ke kampung, kami tinggal di rumah arwah kakak Datuk Seri. Sebenarnya, kalau kami nak tidur dan duduk di rumah agam pun boleh sebab rumah besar.

Tingkat empat memang tidak digunakan dan ada master bedroom. Tetapi Datuk Seri tak nak mengganggu budak-budak tahfiz.

Jadi buat masa sekarang sementara menunggu rumah persinggahan siap, kami lebih selesa tinggal di rumah arwah kakak. Lebih selesa dan privasi.

Difahamkan, video itu dimuat naik di Instagram pada 7 Julai lalu.

Sementara itu, di Instagram Story, ibu kepada pelakon Erysha Emyra menyifatkan arwah suaminya pasti tersenyum melihat majlis bacaan Yasin diikuti tahlil dilakukan di rumah agamnya bersama anak-anak tahfiz.

Dalam masa sama, Noniswara turut mendoakan agar arwah suaminya tenang dan damai di negeri abadi.

Pada Isnin, jenazah Allahyarham Sheikh Nordin dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Mustaqim, Ampang, sebelum dibawa pulang ke Kuala Krau, Temerloh, Pahang untuk dikebumikan.

Untuk rekod, Noniswara mendirikan rumah tangga bersama Allahyarham Sheikh Nordin sejak sembilan tahun lalu namun tidak dikurniakan cahaya mata.

Baca juga: “Minta dia ceraikan dan kahwin dengan adik saya, jangan berzina lagi saya rela undur diri, tapi dia kata ya…”