Guru dalam apa juga keadaan tidak wajar guna ayat macam budak sekolah apa lagi bahasa rojak dengan ejaan tunggang langgang dalam kumpulan WhatsApp bersama keluarga murid.
Individu yang bergelar cikgu perlu profesional dan paling penting mengasah kecerdasan emosi dengan menggunakan bahasa dan ejaan yang baku bagi memastikan komunikasi terkawal.
Ikuti pandangan dan contoh penjelasan daripada pempengaruh HARRIS NASRIL ini yang boleh guru salin & tampal sebagai templat untuk kumpulan WhatsApp keluarga murid:
Sebagai seorang pendidik, kita wajarlah menonjolkan sikap kita sebagai pendidik. Kita perlu profesional, apatah lagi bila berkomunikasi dengan ibu bapa.
Perlu diletakkan premis bahawa ibu bapa adalah pelanggan kita. Kerenah mereka sekiranya perlu dibalas, balaslah dengan profesional.
Sebagai contoh komen seorang cikgu pada tangkap layar ini dalam kumpulan Whatapps guru dan ibu bapa yang disebarkan sendiri oleh cikgu tersebut. (Hantaran itu kini ditutup ruangan komen).
Dari segi komunikasi, komen cikgu tersebut adalah sangat gagal, berlebihan emosinya. Seperti membalas komen dalam kumpulan whatsap yang ada rakan-rakan sendiri. Ada pula bahasa slanga dan rojak digunakan. Contoh :
“Apa ek masalah mak2 kat sini””
“Hari2 tanya ada homework ke tak”
Di bawah ini saya tulis komen yang lebih profesional berbanding yang asal sebagai panduan semua, kepada para guru khasnya. Ingat, bahasa jiwa bangsa. Semoga bermanfaat:
Salam sejahtera,
Terima kasih atas semua komen para ibu bapa dan penjaga berhubung kerja sekolah murid.
Di sini, saya ingin ketengahkan mengenai pentingnya menggalakkan tanggungjawab peribadi dalam anak kita.
Saya percaya adalah penting bagi murid untuk memahami bahawa menyelesaikan tugasan sekolah adalah tanggungjawab mereka.
Saya juga memahami kerisauan ibu bapa apatah lagi apabila ada yang tidak selesai kerja sekolah.
Sebolehnya kita harus menghindari dari membantu anak-anak secara berlebihan sehingga mereka menjadi terlalu bergantung.
Adalah wajar bagi ibu bapa untuk mengetahui jika terdapat tugasan yang perlu disiapkan, namun anak-anak haruslah didorong untuk hadir ke sekolah dengan kesediaan untuk belajar dan menyelesaikan tugas dengan usaha sendiri.
Selaku pendidik, saya akan memastikan maklumat tentang kerja sekolah disampaikan dengan jelas, namun saya juga memohon kerjasama ibu bapa untuk membantu anak-anak supaya fokus dan bertanggungjawab terhadap kewajiban mereka sebagai murid.
Akhir kata, saya tekankan bahawa komunikasi melalui kumpulan ini adalah untuk berkongsi maklumat yang berkaitan dengan sekolah sahaja.
Untuk itu, mulai saat ini, kumpulan ini ditetapkan hanya admin boleh membuat hantaran.
Terima kasih atas kerjasama dan sokongan para ibu bapa dan penjaga.
Sekian terima kasih,
Cikgu