Baru-baru ini, cuti raya haji atau raya aidiladha menyaksikan kesesakan lalulintas yang sangat teruk di jalan-jalan utama.
Ada yang perlu menempuh kesesakan selama 27 jam untuk beraya di pantai timur.
Kerana keadaan yang kian memburuk, sekeluarga ini mempelawa orang awam yang sangkut dalam kesesakan di hadapan rumah mereka untuk menggunakan tandas secara percuma.
Siti Noranis Sakarnor berkata, keluarganya menyaksikan kesesakan lalu lintas yang teruk di hadapan rumah mereka di Kampung Beris Tok Ku di Setiu, Terengganu.
Idea itu tercetus oleh abangnya apabila terlalu ramai orang awam yang mahu menumpang tandas di rumah mereka.
“Kesesakan teruk di hadapan rumah kami, ia merupakan jalan pintas yang digunakan mereka untuk balik ke Kuala Lumpur. Paling teruk masa Sabtu petang sampai ke pukul 11 malam.
“Kesesakan teruk di jalan kampung sampai tak bergerak kereta mereka. Ada yang datang ke rumah bertanya surau jauh lagi dari sini ke sebab mereka nak ke tandas.
“Surau jauh lagi, dan jarak stesen minyak pun dianggarkan 2 kilometer. Jadi, abang cadang supaya kami tumpangkan mereka untuk guna tandas,” katanya kepada mStar.
Anis berkata rumahnya dilengkapi tiga tandas lalu memberikan satu tandas untuk digunakan oleh orang awam.
“Kasihan tengok bila mereka ‘sangkut’ dalam jalan sesak, ada yang lima jam dalam kereta tapi masih belum keluar dari Terengganu. Ramai yang keluar kereta untuk cari tandas, hisap rokok, berehat dan hirup udara luar.
“Kami pasang ‘signboard’ besar-besar ada tandas percuma. Dari orang dewasa hingga kanak-kanak, ramai datang ke rumah untuk guna tandas,” katanya.
Tidak timbul isu keselamatan kerana orang awam beratur dan menggunakan tandas secara bergilir gilir katanya.
“Tiada masalah dari segi keselamatan sebab kami ada tandas terletak di bahagian lain, yang mana ada pintu untuk masuk ke ruang utama.
“Apa yang kami buat ni memang niat nak tolong orang. Tahun-tahun sebelum ini ada je jalan sesak depan rumah, tapi kereta masih bergerak perlahan,” katanya.
Anis juga memberikan air mineral secara percuma kepada orang awam yang datang menggunakan kemudahan percuma itu.
Ada juga keluarga yang menginap di rumahnya kerana sudah lewat malam dan tidak larat meneruskan perjalanan.
“Kami menerima kunjungan enam orang sekeluarga termasuk kanak-kanak untuk bermalam. Kebetulan di salah satu bahagian rumah kami ada dua bilik yang tidak digunakan.
“Dua bilik tu kami beri mereka bermalam dan dikenakan caj macam homestay. Esok pagi mereka ‘check out’ dan sambung perjalanan.
“Alhamdulillah, kami sekeluarga dapat bantu yang termampu dengan memberi kemudahan orang ramai yang ‘sangkut’ dalam kesesakan di jalan raya,” katanya.