Pelakon, Adam Corrie berkongsi video makan mi wantan guna chosptick di media sosial miliknya sebagai satu perkongsian santai menyatakan menu tersebut merupakan makanan kesukaannya.
Ternyata posting terbabit mendapat pelbagai respon daripada netizen di media sosial sehingga ada yang meninggalkan komen yang kurang cerdik.
Menerusi beberapa tangkapan layar komen yang dibuat netizen dan dimuat naik semula ke akaun X thelast_demigod, ada individu telah mempersoalkan tindakan Adam menggunakan chopstik ketika makan mi wantan tersebut.
Ada di antara mereka menuduh daging ayam yang ada di dalam mi tersebut tidak halal kerana dikatakan mirip daging haiwan yang diharamkan untuk dimakan oleh umat Islam.
Tak hanya itu, mereka juga ‘menasihati’ pelakon berkenaan supaya makan menggunakan tangan kerana lebih afdal.
Tangkapan layar komen-komen yang diterima di ruangan Facebook Adam Corrie membuatkan warganet ‘buntu’ kerana makan mi menggunakan tangan merupakan tindakan yang jarang dilakukan.
Menjengah ke ruangan Facebook pelakon filem KL Gangster berkenaan, dapat dilihat beberapa individu masih berbalah perihal daging yang dimakan dan juga penggunaan chopstick sehingga beberapa komen dibalas langsung oleh Adam.
Namun, masih ada warganet yang faham situasi dihadapi oleh selebriti berkenaan dan mengakui mengalami nasib sama apabila kerap ditanya soalan-soalan yang kurang sesuai hanya disebabkan dirinya mualaf.
Ujar pengguna media sosial itu, walaupun dirinya seorang ‘saudara baru’ tetapi dia tahu tentang batasan-batasan yang sudah ditetapkan dalam Islam dan tidak sesuka hati makan makanan yang telah dinyatakan haram secara hukum.
Komen berkenaan telah disetujui oleh Adam Corrie yang membalas kenyataan tersebut dengan ringkas.
Untuk rekod, Adam Corrie atau nama sebenarnya, Adam Corrie Lee telah memeluk agama Islam pada tahun 2007.
Dia yang kini aktif memberi perkongsian berkaitan perjalanannya sebagai seorang muslim dilihat sering berkongsi video-video makan dan aktiviti keseharian di media sosial sebagai tatapan peminat selain bergelar usahawan.
Baca juga: Nampak senang tapi ramai yang selalu gagal, ini cara buat telur separuh masak yang ‘perfect’