Adun DAP berang dengan PH, dakwa surat dihantar ke Istana bukan mewakili dirinya

Seorang bekas Adun pembangkang Melaka tidak senang dengan tindakan Pakatan Harapan (PH) Melaka yang mengutus surat kepada Istana Negara memohon agar pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dibatalkan. Surat itu kononnya mewakili 15 Adun.

Low Chee Leong, Adun Kota Laksamana sehingga DUN dibubarkan Isnin lalu, berkata surat itu tidak mewakli pandangannya dan harus ditarik balik.

Katanya, Pengerusi PH Melaka Adly Zahari tidak berunding dengan dirinya dan wakil rakyat yang lain sebelum mengutuskan surat itu.

“Saya tidak tahu apa-apa (kandungan) surat itu,” kata Low kepada Malaysiakini.

“Ini tidak boleh diterima dan saya mahu surat itu ditarik balik kerana ia tidak mewakili saya.

“Kamu harus menghormati saya dan beritahu saya tentang kandungannya terlebih dahulu,” tambahnya.

Surat kepada Istana Negara itu ditujukan kepada Sultan Perak Nazrin Shah – yang adalah pemangku Yang di-Pertuan Agong ketika ini.

Ia memohon Seri Paduka Baginda supaya memaklumkan kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam untuk menarik balik keputusannya membubarkan DUN.

Surat yang dilihat oleh Malaysiakini itu, mendakwa mewakili 15 Adun – termasuk 11 dari PH.

Surat itu ditandatangani oleh Adly, dan empat Adun kerajaan negeri yang berpaling tadah – Idris Haron, Norhizam Baktee, Noor Effandi Ahmad, dan Nor Azman Hassan.

Low berkata dia telah menyoal Adly berhubung surat berkenaan, dan diberitahu bahawa pimpinan pusat PH telah meluluskannya.

Surat itu didedahkan kepada media malam tadi oleh Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Md Akin setelah Norhizam dan Noor Effandi bertemu dengannya di pejabat Anwar Ibrahim.

Malaysiakini telah menghubungi Adly untuk mendapatkan ulasannya.

Kerajaan negeri Melaka tumbang setelah Idris, Norhizam, Noor Effandi, dan Nor Azmin menarik sokongan mereka.

Mereka telah merancang untuk bekerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan negeri yang baru.

Namun, DUN dibubarkan sebaliknya, yang membuka jalan untuk pilihan raya diadakan.

sumber : https://www.malaysiakini.com/news/594603