Pelakon Aeril Zafrel atau nama sebenarnya, Suhairil Sunari malas nak layan orang yang nampak dirinya suka menunjuk-nunjuk kekayaan hanya kerana selalu memberi hadiah mewah buat isteri, Wawa Zainal dan anak-anak.
Lebih teruk lagi netizen turut mempertikaikan kekayaan dimiliki sedangkan kesenangan diperoleh adalah hasil usaha keras lebih tujuh tahun mengusahakan perniagaan.
“Mereka yang dakwa kami hidup mewah sekelip mata sebenarnya tak tahu kesusahan yang kami pernah tempuh sebelum ini dalam membina perniagaan dari kosong, hingga berdirinya empayar Wawa Cosmetics.
“Tak dapat dikira berapa banyak bisnes kami cuba, jual baju, tudung kanta lekap sampailah Wawa Cosmetics yang kami usahakan pada 2016.
“Masa gagal, menangis tanggung rugi memang orang tak nampak. Jadi apabila ada suara mempertikaikan kesenangan ini, saya sudah sampai ke tahap malas ambil pusing,” katanya kepada Kosmo! Online.
Pemenang Celebrity Creator of The Year TikTok Awards Malaysia 2023 itu mengakui lebih selesa tidak membaca komen dalam media sosial yang disifatkan sebagai tindakan terbaik.
“Saya tak baca komen kalau terjadi perkara yang mengundang kecaman kerana enggan menganggu emosi dan mental sendiri.
“Sebagai penggiat seni, saya tahu kita tak terlepas daripada pandangan skeptikal, cuma kalau kecaman melampau memang tak perlu dilayan. Saya mahu dilingkungi aura positif,” katanya.
Setiap momen hari istimewa beliau akan dikongsi dalam laman sosial untuk disimpan sebagai kenangan, selain menyuntik motivasi.
Sebelum ini, perkongsian Aeril memberikan hadiah kereta mewah jenama Brabus 900 Rocket Edition yang dianggarkan bernilai lebih RM2.4 juta kepada isterinya, Wawa Zainal meraih perhatian.
Baca juga: Nak sejuk punya pasal sanggup bina rumah kanvas atas tanah menantu, tanah pusaka ada tapi…