Pelakon dan penerbit, Afdlin Shauki tidak menolak wujud spekulasi namanya dicalonkan untuk bertanding dalam pilihan raya untuk parti politik PKR.
Memetik dari Malaysiakini, Walaupun tidak memandang kedudukan dalam parti, Afdlin tetap menyatakan kesediaannya untuk menyandang sebarang jawatan sekiranya diberi kepercayaan itu.
“Sama ada saya dicalonkan atau tak, terpulang kepada Anwar Ibrahim. Saya ahli PKR biasa saja.
“Cuma ada dengar-dengar nama dicalonkan untuk jadi wakil rakyat, tapi saya tak boleh sahkan atau nafikan.
“Jika memang dicalonkan, saya dah bersedia,” katanya.
Katanya, penting untuk mana mana individu yang berada dalam sesebuah parti politik untuk bersatu padu melaksanakan tugas mereka.
“Kita kena bekerja sebagai satu pasukan untuk pastikan tugasan membantu masyarakat dilaksanakan dengan baik.
“Kalau tak dapat jawatan pun, saya tetap akan sokong sesiapa saja yang dinamakan sebagai calon,” jelasnya.
Afdlin (gambar, bawah) berkata demikian semasa ditemui pada majlis tayangan perdana filem The Assistant arahan Adrian Teh di The Starling, di Damansara Utama, Petaling Jaya hari ini.
Selain itu, dia turut menyokong mana-mana rakan artis dan selebriti yang sanggup terjun ke bidang politik dengan niat yang satu iaitu ingin membantu rakyat.
“Tak kisahlah parti politik apa pun yang diwakilinya sama ada Barisan Nasional (BN), PKR atau sebagainya. Janji, niat untuk bantu rakyat.
“Misi kita ialah pastikan masalah orang dapat diselesaikan, bukan masuk untuk kuasa.
“Kita kena tanam niat dari awal-awal lagi untuk bantu rakyat. Mesti kena ada benda itu,” katanya.
Afdlin pada masa sama memuji kejayaan rakan artis seperti Dira Abu Zahar yang mewakili BN ketika ini sekali gus membuktikan bahawa golongan selebriti juga mampu berjaya dalam bidang politik.
“Ini menunjukkan kami orang seni bukan bodoh seperti ramai yang orang sangkakan. Walau kerjaya kami adalah bidang seni, kami semua bersekolah dan tahu isu-isu semasa.
“Dira contohnya, berjaya membuktikan bahawa wanita juga mampu terpilih pada jawatan tertinggi bagi pengelolaan negara.
“Saya anggap bagus jika ada ramai anak seni dalam politik kerana mereka boleh jadi suara anak seni sebab hanya mereka faham apa yang berlaku dalam industri,” katanya.