‘Agong membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa’

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berperanan mengimbangkan pelbagai tuntutan demi menjamin berlakunya keadilan dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Syed Danial Syed Ahmad berkata demikian dalam kenyataan hari ini dengan perkataan “membatasi” menjadi satu-satunya perkataan yang diwarnakan merah.

Menurutnya, pertemuan lapan Raja-Raja Melayu dengan Agong hari ini yang membincangkan permohonan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat menekankan pentingnya menghormati mekanisme semak dan imbang untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa.

“Raja-raja berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara pelbagai cabang kerajaan.

“Raja- raja turut menegaskan pentingnya prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen diterjemahkan melalui budaya pemerintahan yang pada setiap masa meluhurkan Perlembagaan Negara dan mendaulatkan undang-undang, dan mengutamakan kebajikan rakyat jelata,” dipetik kenyataan itu.

Petang tadi, Sultan Abdullah, setelah berunding dengan Sultan dari Terengganu, Perlis, Selangor, Johor, Perak, Kedah, Yang diPertua Negeri Sembilan dan Pemangku Raja Pahang.

Mesyuarat khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara itu kemudiannya memutuskan untuk menolak permintaan Perdana Menteri Muhyiddin bagi mengisytiharkan darurat.

Mengulas lanjut Syed Danial memaklumkan raja-raja telah menyampaikan pendapat mereka secara terbuka, terus terang dan saling menghormati untuk membantu Yang di-Pertuan Agong dalam membuat keputusan.

“Raja-Raja Pemerintah menzahirkan penghargaan pada Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong atas sifat Baginda memilih melakukan rundingan dan konsultasi sebelum memberikan sebarang perkenan dan menzahirkan apa-apa keputusan menyentuh perkara yang sangat penting,” katanya.

Tambah Syed Danial lagi, semangat tersebut adalah selaras dengan budaya syura yang sangat dianjurkan oleh Islam ketika ummah menghadapi sesuatu persoalan yang memerlukan penyelesaian.