Ahli Parlimen Batu didakwa hadir ke Parlimen walaupun berisiko Covid-19

Ahli Parlimen Batu P Prabakaran hadir ke Dewan Rakyat pada 10 Disember lepas walaupun disahkan menjadi kontak rapat dengan abangnya yang positif Covid-19, kata Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) Shahidan Kassim.

Ahli Parlimen Arau itu berkata, Prabakaran perlu dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana melanggar prosedur dengan menghadiri, berbahas dan mengundi Belanjawan 2021 bagi Kementerian Komunikasi dan Multimedia di peringkat jawatankuasa pada Khamis lepas.

“Kita tidak boleh mengambil mudah perkara ini kerana jika tiba-tiba ada berlaku jangkitan Covid-19 dalam kalangan ahli Parlimen, ia mendatangkan bahaya kepada kita.

“Pelanggaran peraturan ini amat serius dan luar biasa maka saya meminta speaker sendiri merujuk dia (ahli Parlimen Batu) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

“Hukuman daripada Kementerian Kesihatan lain tetapi di pihak Parlimen sendiri beliau perlu dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan,” kata Shahidan di Dewan Rakyat hari ini.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata, beliau akan meneliti sama ada mempunyai kuasa atau tidak untuk merujuk ahli Parlimen Batu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

“Saya mengambil maklum perkara ini dan akan menelitinya untuk melihat apa yang kita boleh buat,” katanya.

Azhar mengakui tidak sedar bagaimana Prabakaran dapat masuk ke Dewan Rakyat dan mengundi.

“Cuma selepas hari Khamis apabila disemak senarai mengundi berkenaan barulah kita sedar mengenai kehadiran YB Batu mengundi.

“Seperti mana saya katakan sebelum ini kuasa untuk menghukum dan mengkompaun sesiapa yang melanggar perintah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai Covid-19 ini bukan di bawah kuasa saya.

“Justeru, saya nasihatkan kepada sesiapa yang tidak berpuas hati dengan tindakan ahli Parlimen Batu berkenaan supaya membuat laporan kepada KKM dan pihak berkuasa lain untuk tindakan sewajarnya,” katanya.

sumber: https://www.malaysianow.com/berita/2020/12/17/ahli-parlimen-batu-didakwa-hadir-ke-parlimen-walaupun-berisiko-covid-19/