Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyamakan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai kuman atau parasit kerana kerap berkata bohong.
Timbalan Perdana Menteri itu turut menyatakan dakwaan tersebut susulan satu video yang melibatkan seorang penceramah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
“Saya nak menyentuh tentang Kuala Kubu Baharu, semalam saya melihat satu video oleh seorang penceramah yang menjadi kuman, parasit di mana dia mengatakan bahawa saya menawarkan dia menjadi Setiausaha Agung UMNO kalau dia menyokong saya untuk menjadi Presiden UMNO 2018.
“Saya ingin memberitahu orang itu bahawa tidak ada tawaran untuk dia menjadi Setiausaha Agung apatah lagi menjunjung al-Quran,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) di sini pada Jumaat.
Beliau turut menggesa Hamzah supaya bertaubat dari melakukan pembohongan apabila menjelang pilihanraya.
“Saya nasihatkan dia bertaubat cepat-cepat, jangan tiap kali ada PRK atau Pilihan Raya Negeri (PRN) membohong, menipu, bawa isu ini. Saya kenal dia dari zaman muda, kuat membohong. Malangnya dia jadi ketua pembangkang di Parlimen di Malaysia, malangnya.
“Saya harap dia tidak membohong apabila berhujah di Parlimen kerana pengalaman saya dari zaman muda sampai dah tua bercucu sudah pun tak habis-habis membohong. Cukuplah pilihan raya di Kuala Kubu Baharu, Insya-ALLAH ianya memihak kepada calon Kerajaan Madani,” katanya.
Dalam satu video yang tular, Hamzah di PRK Kuala Kubu Baharu mendakwa dia keluar dari UMNO ketika pemilihan Presiden dan Ahmad Zahid ada meminta bantuannya.
Namun Hamzah bertindak untuk menolak dan turut mendakwa Presiden parti UMNO itu menawarkannya menjadi Setiausaha Agung UMNO.
Baca juga: Mahu jaga hati anak-anak, Hisyam Hamid enggan perjelas status cerai