Ramadan telah meninggalkan kita dan kini Syawal telah tiba.
Ia adalah hari yang dinantikan oleh seluruh umat Islam selepas sudah sebulan berpuasa.
Ibadah puasa selama bulan Ramadan turut diibaratkan sebagai sebuah ‘madrasah’ atau sekolah yang mendidik jiwa umat Islam selama sebulan penuh.
Oleh karena itu, Hari Raya Aidilfitri menjadi lambang kejayaan setelah berhasil menempuhi bulan yang penuh ujian tersebut. Semoga segala amal ibadah kita selama Ramadan diterima oleh Allah dan menjadikan kita hamba yang lebih baik dari sebelumnya.
Apabila masuknya Syawal, antara amalan penting yang disarankan oleh Baginda S.A.W ialah puasa enam hari. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” [HR Muslim: 1164]
Pemahaman daripada hadis ini ialah, Rasulullah menyatakan bahawa berpuasa enam hari selepas bulan Ramadan akan memberi pahala seolah-olah berpuasa sepanjang setahun. Para ulama menerangkan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan menyatakan bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda.
Puasa selama 30 hari di bulan Ramadan akan mendapat ganjaran sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal akan mendapat ganjaran sebanyak 60 hari. Jika dikira jumlah keseluruhannya, iaitu 360 hari, hampir menyerupai jumlah hari dalam setahun yang merupakan 360 hari.
Sesungguhnya Allah SWT memiliki kuasa yang maha besar untuk memberikan ganjaran sebanyak yang dikehendaki-Nya. Oleh kerana itu, Allah telah menyediakan satu syurga yang khusus diperuntukkan bagi orang-orang yang berpuasa.
1. Apakah hukum puasa enam hari di bulan Syawal?
Puasa enam hari merupakan amalan sunat. Imam An-Nawawi menyatakan: Hadis ini merupakan dalil yang jelas bagi mazhab Imam Syafie bahawa disunnahkan untuk berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).
2. Bilakah Puasa enam hari di bulan syawal perlu dilakukan?
Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Aidilfitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah ra berkata: Nabi melarang puasa pada hari (Aidil) Fitri dan (Aidil) Adha. [HR Bukhari 1991]
3. Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut atau secara berasingan?
Tidak menjadi kesalahan jika ia dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa menentukan hari-harinya.
Baca juga: Tersenyum lebar! Penjawat awam dapat ‘duit raya’ RM500, pesara pula RM250