Sebelum ini warga lembah klang mesti terfikir dua kali tentang jarak mahu ke lapangan terbang KLIA2 yang jauhnya memakan masa 1 jam. Akibat daripada itu mulalah kita kelam kabut untuk percepat membuat persiapan diri.
Berita baik untuk kita hari ini apabila Air Asia kini sudah sah berada di Subang Airport!
AirAsia memperluas semula operasinya ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) juga dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang.
Pengarah Urusan AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata, operasi AirAsia di Lapangan Terbang Subang akan bermula dengan dua destinasi domestik iaitu Kuching dan Kota Kinabalu.
Katanya, penerbangan pertama dijadualkan bermula pada 30 Ogos 2024, menandakan pencapaian penting dalam sejarah syarikat penerbangan itu selepas 23 tahun tidak beroperasi di Lapangan Terbang Subang.
“Keputusan untuk kembali beroperasi di Lapangan Terbang Subang sebagai lapangan terbang kedua di Kuala Lumpur didorong oleh beberapa faktor dan peluang yang ditawarkan.
“Lokasi lapangan terbang ini yang berdekatan dengan pusat bandar menawarkan pengalaman perjalanan lebih mudah untuk tetamu di kawasan setempat”,katanya.
Beliau menambah, “Selain itu, saiznya yang lebih kecil dan jumlah penumpang yang lebih rendah memastikan perjalanan lebih lancar untuk pengembara, sejajar dengan komitmen kami untuk meningkatkan pengalaman para tetamu secara keseluruhan dengan menawarkan lebih fleksibiliti dan pilihan, serta menggalakkan persaingan sihat dalam industri penerbangan negara.
“Kami optimis dengan beroperasi semula di Lapangan Terbang Subang juga akan meningkatkan rangkaian domestik AirAsia Malaysia daripada 920 penerbangan mingguan kepada 948 penerbangan mingguan dengan sejumlah 40 laluan,” katanya kepada media.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A serta Penasihat AirAsia Aviation Group, Tan Sri Tony Fernandes.
Fareh berkata, pihaknya optimis untuk menjadikan Subang sebagai hab keenamnya di Malaysia pada masa hadapan bagi memperkukuh rangkaian, memperluas kapasiti dan menawarkan lebih banyak destinasi kepada pelanggan.
Beliau berkata, operasi tambahan ini dijangka mendorong fasa pertumbuhan AirAsia bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh rantau ini.
“Kami berharap untuk menambah lebih banyak laluan dari Subang, terutamanya laluan antarabangsa yang kini dalam perancangan dan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.
“Buat masa ini kami diberi kebenaran untuk dua destinasi iaitu Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.
“Kami percaya seiring peningkatan permintaan akan lebih banyak destinasi lain bakal diumumkan kelak,” katanya.
Bagi meraikan pengumuman ini, AirAsia menawarkan tambang promosi untuk penerbangan dari Subang ke Kuching bermula daripada RM88 termasuk semua sehala dan ke Kota Kinabalu bermula daripada RM99 termasuk semua sehala dan bagasi daftar masuk 15 kilogram percuma.
Tambang promosi ini boleh ditempah melalui aplikasi AirAsia MOVE (dahulunya dikenali sebagai airasia Superapp) dan airasia.com bermula hari ini sehingga 28 Julai 2024 untuk tempoh perjalanan antara 30 Ogos 2024 hingga 8 Oktober 2025.