Pempengaruh media sosial, Alif Teega membuat pengakuan bahawa beliau telah berkahwin dengan isteri kedua beliau pada 18 November yang lalu.
Mohd Hazalif Mohd Hazani, atau lebih dikenali sebagai Alif, 29 tahun menyatakan bahawa pengakuannya dibuat untuk menghindari sebarang fitnah dan menjaga agar pernikahannya tidak menjadi bahan gosip netizen.
“Mungkin selama ini ada yang terdengar atau memang tahu berita mengenai saya sudah bernikah. Baik, Alhamdulillah berita tersebut adalah benar. Saya sudah pun bernikah.
“Tujuan hantaran ini adalah untuk menyampaikan khabar berita sekali gus menjawab segala spekulasi tentang saya dan mengelak daripada sebarang fitnah,” katanya.
Alif membuat pengakuan itu menerusi hantaran di Instagram miliknya pada petang Ahad.
Tetapi, personaliti media sosial itu tidak mendedahkan butiran mengenai identiti isteri keduanya.
Dalam hal ini, Alif juga mengakui kekagumannya terhadap isteri pertamanya, Aisyah Hijanah, yang gigih berkongsi kasih dengan seorang wanita lain.
“Terima kasih khususnya kepada isteri saya, Aisyah Hijanah kerana bersabar dengan apa yang telah berlaku, tabah dan masih kuat berada di sisi menemani saya walaupun saya tahu perit bagi mana- mana wanita menerima hakikat ini.
“Aisyah adalah wanita pilihan Allah yang kuatnya luar biasa dan saya juga takjub dengan kekuatannya dalam hadapi setiap ujian,” ujarnya.
Aisyah turut menyampaikan doa untuk kebahagiaan Alif bersama madunya, dan berharap agar orang ramai tidak membuat kenyataan negatif tentang perkahwinan mereka.
“Doakan yang baik-baik buat kami berdua. Saya mohon agar tidak berkata yang buruk kepada Alif mahupun isteri barunya,” jelasnya.
Untuk rekod, Alif dan Aisyah telah membina rumah tangga pada tahun 2017 dan diberkati dengan dua orang anak dan kini sedang dalam proses mendapatkan anak ketiga
Pada bulan Oktober yang lalu, isteri pempengaruh media sosial tersebut mendedahkan bahawa perkahwinan mereka cuba dipengaruhi oleh pihak ketiga yang juga merupakan pekerja mereka sendiri.