Akaun TikTok rasmi milik Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang menggunakan nama @sanusimdnoor dilaporkan telah disekat.
Perkara itu dikongsikan oleh beliau melalui “Screenshot” dan kemudian dikongsi di Facbook miliknya secara rasmi sebantar tadi.
Selain akaun TikTok Sanusi, difahamkan sebuah lagi akaun yang disekat ialah milik Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri selaku bekas EXCO Pemuda UMNO.
“Darai yang barai,” tulis beliau kemudian muat naik hantaran itu yang disertai gambar tangkap layar kedua-dua akaun TikTok tersebut.
Sehingga kini, tidak dapat dijelaskan berkenaan mengapa kedua-dua akaun tersebut disekat.
Terdahulu, Sanusi telah terpalit dengan isu 3R yang dikatakan telah menghina Sultan Selangor.
Dalam pada itu, Sanusi memaklumkan bahawa beliau sudahpun mengutuskan warkah memohon ampun dan maaf kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Sultan Selangor.
Warkah permohonan maaf itu mempunyai kaitan dengan ucapan kontroversi yang dibuatnya dalam satu ceramah baru-baru ini.
“Warkah saya itu didahului dengan merafak sembah memohon ampun dan maaf kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor. Seraya berharap tidaklah timbul kemurkaan Baginda Tuanku Sultan bersabit isu-isu yang sengaja dibangkitkan daripada ucapan itu,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar Sultan Selangor dan permaisurinya sentiasa dalam keadaan kesihatan yang baik.
“Selanjutnya saya mendoakan agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri terus bersemayam di atas singgahsana Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan dalam keadaan sihat, sentosa dan penuh kemuliaan.”
Seterusnya, warkah itu juga bertujuan untuk menjelaskan maksud sebenar ucapan yang dibuatnya ketika itu.
Menteri Besar itu turut mendakwa bahawa kenyataan yang dibuat di dalam ucapan itu telah diputar belit oleh sesetengah pihak.
“Saya telah mengutuskan warkah ke hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Sultan Selangor, untuk menjelaskan konteks, maksud sebenar dan medan yang tercangkup daripada ucapan…,” jelasnya.
Tambahnya, pihaknya telah dimaklumkan Pegawai Istana Selangor bahawa Sultan Selangor telahpun memberi perkenan untuk menerima dan membaca surat berkenaan.
Walau bagaimanapun, Sanusi berkata beliau tidak berhasrat untuk mendedahkan isi kandungan warkah itu bagi menghormati Sultan Selangor.
Baca juga: Guna asam jawa biar darah dan lendir senang tercabut, lelaki ini tunjuk cara bersihkan uri dan tanam