Akhirnya bekas SU Politik Mahathir bersuara tindakanya cium tangan Najib

Bekas Setiausaha Politik kepada Tun Dr Mahathir Mohathir Mohamad, Senator Mohammad Zahid Md Arip mempertahan tindakannya mencium tangan Datuk Seri Najib Razak dalam satu program di Melaka baru-baru ini.

Gambar Zahid mencium tangan Najib tular dalam media sosial semalam, ia dirakam semasa bekas Perdana Menteri (PM) itu menghadiri program di Kampung Sungai Udang, Melaka pada Sabtu lalu.

“Salahkah saya cium tangan Najib yang datang ke kampung saya? Sila tunjuk dalam Perlembagaan Bersatu, adakah saya tidak dibenarkan menunjukkan rasa hormat kepada beliau?” Memandangkan saya dengan Najib kini berada dalam satu kerajaan, saya juga hendak beri isyarat kepada penyokong parti UMNO dan Bersatu, kita kena matang dalam berpolitik.

“Saya juga berharap pertemuan itu dapat mengendurkan suhu bahang pilihan raya yang tegang antara UMNO dan Bersatu ketika ini,” katanya dipetik laporan sebuah portal.

Rakaman video dan gambar tular itu dibuat selepas Zahid menerima pelawaan Najib untuk hadir menyertai programnya di Kampung Sungai Udang, Melaka.

Tindakan Zahid itu menimbulkan kritikan banyak pihak khususnya pemimpin dalam Perikatan Nasional (PN) yang menyindir tindakan Zahid itu dan mengaitkannya dengan dakwaan beliau kecewa kerana tidak dipilih sebagai calon PRN Melaka.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Zahid menawarkan diri untuk bertanding menentang Najib di kerusi Parlimen Pekan, mewakili Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

Mengulas lanjut, Zahid turut mengenepikan dakwaan berkenaan dan menegaskan tiada keperluan untuk beliau berebut menjadi calon pilihan raya.

Selain itu, Zahid juga merupakan salah seorang pencatur utama dalam Langkah Sheraton dan cuba memujuk Dr Mahathir untuk menerima pembentukan kerajaan baharu sebelum ini tetapi ditolak, malah Zahid juga dipecat sebagai Setiausaha Politik bekas PM dua kali itu.

sumber : https://www.agendadaily.com/politik/bekas-supol-dr-mahathir-pertahan-tindakan-cium-tangan-najib/