Pelakon Bella Astillah telah memfailkan permohonan perceraian daripada suaminya, Aliff Aziz, yang berusia 33 tahun, di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, kemarin.
Sebutan kali pertama telah berlangsung hari ini. Dayang Nabellah Awang Astillah atau Bella tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi. Dia turut ditemani oleh ibunya, Zarinah Astillah, dan adiknya, Didi Astillah.
Namun, kelibat suaminya iaitu Aliff Aziz tidak kelihatan.
Sejurus sebutan kali pertama kes berakhir, Bella yang ditemui oleh pemberita memberitahu bahawa dia nekad untuk bercerai.
“Sebenarnya, saya fikir ini jalan terbaik untuk saya. Seperti mana semua tahu, kami pernah rujuk sebelum ini. Jadi, saya fikir, dengan memilih jalan masing-masing, ini mungkin yang terbaik untuk diri Aliff dan saya.
“Pada awalnya, dia bersetuju dan lagi-lagi pada Ramadan ini, saya mahu semuanya lancar… Itu sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Bella, iaitu Azmi Mohd Rais, menyatakan Aliff tidak hadir kerana mempunyai penggambaran dan prosiding akan diteruskan bulan depan.
“Hari ini adalah sebutan pertama bagi kes tuntutan cerai dengan kebenaran mahkamah. Kami sudah failkan kes ini, kelmarin, iaitu perceraian secara ekspres sebab kami dapat berita sebelum ini Aliff bersetuju.
“Tetapi hari ini Alif cakap dia tidak bersedia kerana ada penggambaran. Jadi, saya sudah mohon tarikh sebutan seterusnya untuk menyempurnakan serahan saman secara kendiri dan berbincang untuk menyelesaikan kes secara baik,” katanya.
Pada ahad lalu, Aliff Aziz serta pelakon wanita popular, Ruhainies ditangkap khalwat oleh Jabatan Agama Islam(JAWI) pada pukul 2 pagi malahan rakaman CCTV dari kondominium tersebut tular menunjukkan sebelum ini kelibat Aliff Aziz kerap berada di situ sebelum ditangkap.