Akhirnya PM respon spekulasi gugur 3 menteri dalam kabinetnya

Perdana Menteri menafikan spekulasi mengenai tiga menteri bakal digugurkan daripada senarai jemaah Kabinet, seperti dilaporkan media semalam.

Seperti yang dipetik oleh Malaysiagazzete,sebaliknya, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, beliau kini memfokuskan kepada usaha untuk membantu rakyat yang menjadi mangsa banjir dan masalah Covid-19 yang masih menjadi pandemik di negara ini.

“Nama-nama itu (tiga menteri bakal digugurkan) biasalah dulu pun macam itu juga. Saya dah beritahu tadi fokus saya adalah berkenaan (mengatasi) banjir, saya tak nak cakap pun soal ada atau tiada.

“Setakat ini selagi saya tak umumkan tak adalah. Belum sampai masanya lagi dan ketika ini kita fokus pada (mangsa) banjir,” katannya ketika mengadakan lawatan mangsa banjir di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Gangsa di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Tiga nama yang disebut dalam laporan media semalam adalah dua daripada Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) iaitu Menteri Tugas-tugas Khas, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad dan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun.

Turut disebut adalah Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique daripada parti UMNO.

Spekulasi pemecatan Abd Latiff didakwa berpunca daripada kegagalannya memainkan peranan mengkoordinasi penyelamatan dan bantuan semasa bencana banjir buruk melanda Selangor dan Pahang baru-baru ini sehingga mengakibatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) di bawahnya teruk dikritik rakyat.

Rina yang turut disenaraikan untuk digugurkan selepas terpalit dengan kontroversi ketika membersihkan kawasan banjir selain dikritik memakai kasut tumit tinggi ketika hadir melakukan lawatan ke PPS.

Turut terpalit kontroversi adalah Halimah yang sebelum ini memberi penjelasan kepada ahli Parlimen berhubung agihan peruntukan RM100 juta Unit Transfomasi Masyarakat India Malaysia (Mitra)

Mengulas lanjut mengenai rombakan Kabinet, Ismail berkata, mesyuarat jemaah Kabinet esok akan difokuskan kepada dua agenda utama iaitu isu banjir dan Covid-19.

“Pertama berkenaan banjir, kedua Covid-19 yang agak membimbangkan walaupun kes (harian) kita masih lagi bawah 3,000 tapi nampak gayanya Covid-19 ini akan jadi sebahagian kehidupan kita.

“Banjir pula banyak lagi pasca banjir yang tak selesai dari segi kerosakan infrastruktur, rumah, barangan walaupun saya dah umumkan bermacam-macam bantuan dan insentif kerajaan tapi tak cukup dengan pengumuman sahaja.

“Yang pentingnya pelaksanaan dan saya berpuas hati dengan bantuan wang ihsan yang dah lebih 70 peratus diterima mangsa banjir setakat ini,” katanya.

Tambah perdana menteri, beliau mahu melihat semua bantuan yang diumumkan sebelum ini diterima rakyat terkesan dalam tempoh segera dan tidak perlu menunggu sehingga enam bulan untuk disampaikan. – Malaysiagazette

COMMENTS