Akhirnya Raja Muda Selangor jawab dakwaan terlibat dengan projek hutan simpan Langat

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Idris Shah menafikan sebarang hubungan dengan pemaju semasa yang mempunyai hak untuk membangunkan separuh Hutan Simpan Kuala Langat (Utara).

Hak tersebut kini dipegang oleh Gabungan Indah Sdn Bhd, sebuah syarikat yang kurang dikenali ditubuhkan pada November tahun lalu dengan modal berbayar sebanyak RM1.

“Berkenaan dengan berita baru-baru ini mengenai Hutan Simpan Kuala Langat (Utara), beberapa kumpulan percaya saya mendapat manfaat dari keputusan tersebut.

“Saya ingin menjelaskan kedudukan saya. Saya tidak mempunyai kaitan dengan Gabungan Indah atau sebarang projek pembangunan yang di cadangan di hutan simpan itu,” kata Tengku Amir pada hantaran di Instagramnya hari ini.

Walaupun Tengku Amir tidak mempunyai hubungan dengan Gabungan Indah, raja muda itu terlibat dalam sebuah syarikat yang sebelum ini turut mencadangkan untuk memajukan Hutan Simpan Kuala Langat (Utara).

Tengku Amir pernah menjadi pengarah itian Jutaria Sdn Bhd, yang bersama-sama dengan Menteri Besar Diperbadankan (MBI) telah mencadangkan pembangunan di hutan simpan itu awal tahun lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua syarikat berkenaan kini kelihatan seperti tidak terlibat dengan rancangan pembangunan semasa hutan simpan itu.

Rekod Suruhanjaya Syarikat (CCM) menunjukkan bahawa Titian Jutaria, yang ditubuhkan pada bulan Disember 2018, telah dibubarkan.

Cadangan pembangunan Hutan Simpan Kuala Langat (Utara) kembali menjadi perhatian selepas kerajaan negeri Selangor mendedahkan telah menyahwarta separuh daripada hutan simpan tersebut.

Tengku Amir pada hantarannya hari ini berkata baginda tetap prihatin terhadap alam sekitar dan sedar bagaimana pembangunan memberi kesan terhadap perubahan iklim.

“Bergerak ke hadapan, saya berharap semua orang menempuh jalan yang paling besar cita-citanya.

“Jadikan semua itu tanggungjawab kita bersama untuk melindungi dan memulihkan sebilangan besar tanah ini.

“Memperkasakan dan melindungi masyarakat yang hidup di sana. Membina komuniti yang lebih lestari dengan mempunyai rasa empati dan berpandangan jauh.

“Rakyat Selangor tidak suka melihatnya pupus. Kita warga Malaysia mahu melakukan peranan kita untuk planet ini – untuk menebus kembali kesalahan ekologi kita dan memberi sumbangan positif kepada alam sekitar,” katanya.

Berikutan maklum balas keras mengenai penyahwartaan hutan simpan itu, PKR memanggil Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari untuk menjelaskan perkara itu.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil, menteri besar bersetuju untuk “menangguhkan” pennyahwartaan itu tetapi Amirudin masih belum tampil untuk mengesahkan perkara tersebut

Pun begitu, Amirudin disahkan telah diberi mandat oleh Pakatan Harapan Selangor untuk membawa perkara itu ke dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri pada Rabu (8 Sept) untuk perbincangan lebih lanjut.

Hutan Simpan Kuala Langat (Utara) merupakan hutan paya gambut yang diiktiraf sebagai habitat flora dan fauna terancam, termasuk beruang matahari Malaya, ikan laga merah Langat, tupai terbang terkecil Selangor dan pohon meranti.

Ia juga merupakan sumber mata pencarian dan makanan bagi Orang Asli Temuan di sekitarnya.

sumber : https://www.malaysiakini.com/news/589983