Akhirnya SU Agung Bersatu jawab persoalan nama calon PM

Hanya satu nama calon Perdana Menteri (PM) akan dihantar parti Bersatu untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini, ia selari dengan keputusan yang diambil sama oleh UMNO semalam selepas bermesyuarat.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, parti itu sudah membincangkan beberapa nama Ahli Parlimen (MP) yang bersama dengan Perikatan Nasional (PN) untuk menjadi calon mereka.

“Selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Bersatu akan membincangkan beberapa nama ahli Parlimen dalam kalangan komponen PN.

“Kami akan memutuskan satu nama calon Perdana Menteri untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini,” katanya dalam kenyataan itu.

Tambah Hamzah, parti itu telah melahirkan dua pemimpin Perdana Menteri sepanjang penggal ke-14.

“Penggal ke-14 ini, Bersatu telah melahirkan dua orang Perdana Menteri iaitu Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah menjalankan amanah dan khidmat terbaik sepanjang mereka memegang jawatan tersebut.

“Bersatu menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas titah untuk memberi ruang kepada semua ahli Parlimen menamakan calon Perdana Menteri melalui surat akuan (SD) yang perlu dihantar ke Istana Negara hari ini selaras dengan amalan demokrasi negara ini,” katanya.

Semalam, UMNO sebulat suara membuat keputusan untuk memutuskan menghantar nama Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon tunggal mereka sebagai PM.

sumber : https://www.agendadaily.com/politik/bersatu-juga-putuskan-hanya-satu-nama-calon-pm-dihantar/