Taman Tema Genting SkyWorlds, taman tema yang paling dinantikan di Asia Tenggara, akan mula dibuka kepada orang ramai pada 8 Feb 2022.
Harga tiket penuh bagi tiket standard berharga RM189; kanak-kanak dengan ketinggian 90 sentimeter (cm) ke 110 cm dan warga emas/orang kelainan upaya (OKU) berharga RM161 dan percuma bagi kanak-kanak dengan ketinggian di bawah 90 cm.
Sebagai sebahagian daripada pembukaan awal, Genting SkyWorlds menawarkan diskaun 20 peratus daripada kadar yang disiarkan untuk tempahan mulai 8 Feb hingga 31 Mac 2022.
Dalam kenyataan pada Isnin, Ketua Operasi dan Strategi Perniagaan Genting Malaysia Bhd, Lee Thiam Kit berkata taman tema yang dibina dengan pelaburan lebih US$800 juta (~RM3.3 bilion) itu adalah pencetus perubahan bagi taman tarikan bertema, yang akan meletakkan Malaysia dan Pahang dalam peta pelancongan dunia.
“Taman tema ini akan menyumbang kepada sektor pelancongan dan ekonomi dengan mewujudkan lebih 1,000 pekerjaan,” katanya.
Selepas membeli tiket secara dalam talian, pelanggan digalakkan memuat turun aplikasi mudah alih Genting SkyWorlds Theme Park, yang boleh didapati secara percuma di Google Play, Apple App Store dan Huawei AppGallery.
Aplikasi tersebut bukan sahaja sebagai panduan komprehensif untuk Genting SkyWorlds, dengan maklumat masa sebenar, malah membolehkan pelanggan melayari dan menikmati pengalaman di taman itu secara maya sebelum tiba secara fizikal.
Dengan keluasan 26 ekar di ketinggian 6,000 kaki dari aras laut, Taman Tema Genting SkyWorlds bakal membawa para pengunjung mengembara ke sembilan ‘dunia’ yang diinspirasikan oleh filem dan pengembaraan, menggabungkan Harta Intelek (IP) asli, dan juga keseronokan serta keterujaan bertemakan filem di dalam permainan dan tarikan bertaraf dunia.
Antara ciri lain ialah pelanggan boleh menyemak masa menunggu untuk menikmati tarikan dan pertunjukan; menerima tawaran promosi dan baucar diskaun; mengetahui tempat makan, beli-belah, permainan dan perkhidmatan Photo Plus yang canggih.
Sementara itu, Naib Presiden dan Ketua Operasi Taman Tema Resort World Genting, Greg Pearn berkata aplikasi itu, yang pertama bagi rantau Asia Tenggara, turut disepadukan dengan teknologi ‘Baris Giliran Maya’ (VQ) bagi taman itu.
VQ merupakan ciri pintar yang akan mengurangkan masa menunggu dalam barisan fizikal, sekali gus memberi lebih banyak kebebasan kepada pelanggan untuk melakukan apa yang diinginkan dan pada waktu yang mereka pilih.
“Pembukaan taman tema semasa pandemik adalah satu cabaran, dan walaupun setiap usaha telah dilakukan untuk memastikan tawaran penuh kami tersedia, pilihan tarikan yang kecil memerlukan sedikit masa untuk disiapkan, yang pasukan kami sedang berusaha untuk merealisasikannya,” katanya.