Bagi Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, ada hikmahnya dia tidak dilantik dalam kabinet pada masa ini.
Dipetik Utusan Malaysia hari ini, Mohamad berkata, tiada isu berbangkit berkenaan perkara itu dan dia berasa “lega” tiada dalam kabinet.
“Banyak juga hikmah tiada dalam Kabinet ini kan, bukan senang untuk menjadi menteri dalam situasi krisis.
“…Saya rasa lega tiada dalam kabinet pun, lagi saya rasa lega, bukan calang-calang dalam barisan kabinet, dalam masa krisis ketika ini, bukan mudah,” katanya seperti dipetik.
Sebelum ini Pemuda Umno mencadangkan Mohamad dilantik sebagai menteri kewangan di bawah kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob.
Bagaimanapun Ismail mengekalkan Tengku Zafrul Abdul Aziz bagi portfolio itu.
Mohamad berkata soal pelantikannya sebagai menteri hanyalah cadangan pihak lain.
Katanya lagi, sebagai orang nombor dua dalam Umno, dia akan terus mendukung kerajaan.
“Yang penting kerajaan ini mesti didukung kuat oleh parti, untuk parti dapatkan kekuatan,” katanya.
Video tular
Sementara itu, Mohamad dilihat tidak ingin membesar-besarkan rakaman dalam satu video di mana dia membayangkan ada pihak yang ingin membunuh kerjaya politiknya.
“Itu saya bersahaja…Dia (individu merakam video) tanya bersahaja, saya juga bersahaja, biasalah politik, dalam politik biasalah, jadi tiada isu,” katanya lagi.
Dalam video itu, yang dirakam di luar sebuah masjid di Kuala Lumpur, seorang individu membangkitkan kepada Mohamad bahawa namanya tidak termasuk dalam senarai menteri baru.
Muhamad kemudian menjawab: “Mereka nak ‘bunuh’ (kerjaya politik) saya.”
sumber : https://www.malaysiakini.com/news/589794