Akibat ‘gelojoh’ ambik gambar, cincin kahwin RM670,000 jatuh dalam parit

Sebentuk cincin bertatahkan permata jed bernilai 1 juta yuan (RM665,954) dilaporkan terjatuh dari tingkap sebuah rumah di aras sembilan dan memasuki saluran parit di tingkat bawah.

Insiden tersebut mengakibatkan penduduk di kawasan kejiranan wilayah Guangdong terpaksa menanggung bau busuk selama tiga hari ketika operasi mencari cincin itu dijalankan di saluran parit tersebut.

Menurut posting yang dimuat naik di platform Douyin, seorang lelaki mendakwa cincin itu terlepas dari tangan bapanya semasa cuba merakam video di tepi tingkap.

Bapanya telah membuat tempahan khusus untuk cincin tersebut sebagai hadiah perkahwinan untuk bakal isteri anaknya yang bakal melangsungkan majlis perkahwinan tidak lama lagi.

Sekumpulan lelaki kemudiannya diupah untuk mencari cincin tersebut di dalam saluran parit. Salah seorang pekerja, Fan, menyatakan bahawa mereka dan rakan-rakannya masing-masing diberi bayaran sebanyak 500 yuan (RM331) setiap hari untuk menjalankan misi pencarian tersebut.

Cincin itu akhirnya ditemui pada hari keempat pencarian. Kesemua pekerja bersorak keriangan ketika menemui cincin itu sehinggakan pemiliknya menyalakan bunga api untuk meraikannya.

Baca juga: Ingatkan rider ‘fastfood’, rupanya cucu Amitabh Bachchan