Akibat tercemar dengan asbestos, bedak bayi talkum Johnson & Johnson bakal lenyap di pasaran

  • Post author:

Akibat tercemar dengan sejenis karsinogen yang dikenali sebagai asbestos, bedak bayi talkum Johnson & Johnson (J&J) bakal lenyap di pasaran global tahun depan.

Syarikat J&J itu mengumumkan pemberhentian penjualan bedak bayi berasaskan talkum itu selepas lebih dua tahun menamatkan penjualan produk itu di Amerika Syarikat (AS) selepas menerima puluhan ribu saman berhubung keselamatan pengguna.

Sehubungan itu, syarikat terbabit membuat keputusan komersil untuk beralih kepada pengeluaran bedak bayi berasaskan tepung jagung yang sudah dijual di negara-negara di seluruh dunia, lapor Reuters.

Dua tahun lalu, J&J mengumumkan akan menghentikan penjualan bedak bayi talkum di AS dan Kanada kerana permintaan merosot ekoran apa yang ia gelar “maklumat salah mengenai keselamatan produk ketika banyak saman mengenainya”.

Syarikat itu berdepan kira-kira 38,000 tindakan saman daripada pengguna dengan mereka yang terselamat mendakwa produk talkumnya menyebabkan barah akibat pencemaran asbestos.

Walau bagaimanapun, J&J menafikan dakwaan itu dan menegaskan bahawa ujian saintifik dan kelulusan kawal selia selama beberapa dekad menunjukkan talkumnya selamat dan bebas asbestos.