Seorang wanita tidak menyangka dirinya bakal berhadapan dengan detik yang sukar dalam kehidupan sejak memegang status janda.
Dipandang serong oleh masyarakat sekeliling, wanita bernama Asiah itu turut menerima gelaran pelacur daripada kanak-kanak yang seumuran dengan anaknya.
Sudah tidak dapat menahan sabar, berikut perkongsian Asiah yang harus berjuang untuk mempertahankan maruahnya sendiri sejak suaminya meninggal dunia.
“Pada tahun 2004, suami aku meninggal dunia. Anak masa itu baru berusia sembilan tahun. Sejak itu, aku hidup sebagai ibu tunggal membesarkan anak sendiri dengan kudrat yang ada. Paling seksa bila jadi janda ini bukanlah sebab kehilangan suami semata-mata. Tetapi persepsi orang ramai.
“Bayangkan, tak sampai setahun kehilangan suami, orang sekeliling mula tekan aku untuk cari suami dan ayah baru untuk anak. Aku ingat lagi situasi setiap kali pergi solat dengan anak dekat masjid sejak jadi janda. Mak cik-mak cik dekat masjid sibuk dengan status aku. Yang pangkat pak cik pula tak habis dengan dia punya merenyam.
“Aku abaikan, berbual pun tidak selalunya. Memang aku elak sebab mulut orang ini kita payah nak jaga. Siap ada mak cik dekat masjid ini tegur aku. Katanya, ‘datang sini beribadah, bukan cari laki baru’. Kalau ikut baran aku memang nak maki balik. Tetapi bila fikirkan anak, aku diamkan sahaja.
“Tahun keempat suami meninggal, 5-6 orang rombongan datang ke rumah. Ingatkan ada bancian atau majlis komuniti. Rupanya ada orang nak melamar aku. Sudahlah tak kenal, aku tak tahu siapa. Datang dan cakap nak masuk meminang. Aku apa lagi, marahlah. Kejadian ini bagi aku, telah menjatuhkan maruah.
“Aku tak terfikir langsung nak kahwin, tiba-tiba datang melamar. Itu tak termasuk lagi disuruhnya aku terima sebab ‘nak jaga maruah’. Sekali dapat tahu siapa yang hantar. Rupanya ketua kampung dekat tempat tinggal aku. Gila agaknya, dia sudahlah ada isteri. Aku terus tolak. Tak sampai seminggu aku terus pindah cari tempat lain.
“Terpaksa jual rumah walaupun itu kenangan aku dengan arwah suami. Lagi pula sebelum ini, anak aku ada bergaduh sampai bertumbuk dengan budak kampung. Puncanya mereka kata aku ini pelacur. Aku sempat datang rumah budak itu, jumpa dia dan tanya siapa yang ajar. Sekali mak dia salah seorang AJK dekat masjid itu.
“Aku pun bertekad pindah. Berhenti kerja sebab kesian dekat anak. Dengan situasi macam ini, dia tak dapat nak membesar dengan tenang. Aku pindah dekat kawasan bercampur Cina, Melayu dan India. Baru agak tenang sedikit. Aku pun tidak peramah orangnya. Setakat berbual sekejap bolehlah.
“Dekat pejabat pun ada masalah. Ada ramai lelaki memang jenis mulut kurang ajar. Suka melucah, sebab mereka pandang wanita janda ini sebagai simbol lucah. Cuba tengok stickeryang dilekatkan pada lori atau kereta. Atas letak ayat ‘Bismillah’, tetapi bawah pelekat double meaning pasal janda. Memang tak rasa bersalah mereka ini.
“Aku pun buat laporan pada bahagian sumber manusia (HR) dan pihak polis. Pada masa yang sama, aku minta bantuan NGO (badan bukan kerajaan). Barulah jantan dekat pejabat aku pandai jadi manusia. Lantaklah mereka nak cakap apa. Asalkan minda dan perasaan aku tenang ketika bekerja.
“Pernah juga datang seorang mak cik dekat pejabat dengan sesuka hati tuduh aku menggatal dengan suami dia. Padahal aku dekat pejabat boleh kira berapa patah perkataan bercakap dengan suami dia. Tak cakap banyak, aku lantik peguam buka kes. Baru terhegeh-hegeh dia dan suami datang, minta maaf menangis-nangis.
“Aku ada sertai kumpulan sokongan ibu tunggal, ibu muda yang kehilangan suami. Selalu kami kongsi masalah dari orang sekeliling dan mereka akan cadangkan jalan penyelesaian. Untuk janda atau ibu tunggal dekat luar sana, aku harap semua terus bertabah.
“Aku tahu susah nak teruskan hidup tanpa jadi mangsa imaginasi liar orang ramai. Harap semua dapat kekal kuat demi anak-anak. Aku doakan – Asiah (Bukan nama sebenar).” Kongsi wanita berkenaan menerusi satu hantaran di laman luahan atas talian.
Baca juga: “Suami ceraikan aku sebab ada skandal lagi muda, aku balas dendam kahwin dengan bapa mertua dia”